4 Disember 2021 – Satu Majlis Menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Zai Music World telah diadakan di ibu pejabat Zai Music World yang terletak di Kota Tun Fatimah, MITC, Ayer Keroh Melaka. Tujuan utama termeterainya perjanjian MoU ini adalah bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak. Turut hadir bersama memeriahkan majlis ini adalah wakil daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan MARA Negeri Melaka. Majlis ini telah dijalankan secara tertutup dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
UiTM diwakili oleh Ybhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang disaksikan oleh YBrs. Prof. Madya ChM Dr. Nor Aziyah Bakhari, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTMCPP manakala Zai Music World pula diwakili oleh YBrs. Zaini Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Pengetua Zai Music World sambil disaksikan oleh YBrs. Dr. Salasiah Abbas, Pengasas Zai Music World.
Perbincangan mengenai perjanjian MoU ini tercetus sewaktu penglibatan kolaborasi pensyarah UiTMCPP dan ZMW di dalam projek e-Gamelan sejak lebih setahun yang lalu. Penggerak utama MoU ini diketuai oleh Ts. Mohamed Syazwan Osman yang turut dibantu oleh Ts. Dr. Mohd Suhaimi Sulaiman, Ir. Ts. Dr. Samsul Setumin, Ts. Adi Izhar Che Ani, Ir. Mohd Firdaus Abdullah dan Encik Mohd Ikmal Fitri Marzuki. Projek e-Gamelan merupakan projek inovasi yang berteraskan kepada cara pembelajaran alat musik tradisional melalui permainan atau edu-Gamification yang unik dalam pendidikan muzik.
Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) memaksa ZMW meneroka suasana pembelajaran yang kondusif dan berkembang mengikut peredaran masa bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu melahirkan anak-anak muda yang fleksibel, berfikiran kritis dan kreatif supaya dapat mengharungi masa hadapan yang lebih mencabar. Oleh itu, kemudahan pendidikan digital ini dibangunkan bagi mengatasi masalah-masalah berkaitan pembelajaran dan terutamanya untuk mewujudkan pendidikan yang seiring dengan IR4.0 untuk generasi milenia.
Projek usahasama ini merangkumi pelbagai bidang yang hasilnya akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Hubungan yang terjalin melalui MoU ini akan memberi impak yang tinggi khususnya kepada perancangan masa hadapan ZMW bukan sekadar bidang music malah bidang animasi yang bakal diceburi oleh ZMW.