18 Ogos 2021 – Satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah termeterai. Bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), majlis tandatangan MoU ini dilangsungkan secara atas talian. Walaubagaimanapun, kehadiran delegasi daripada kedua-dua pihak, UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPN PP) secara atas talian amat memberangsangkan.
UiTM diwakili oleh YBhg Prof Ts Dr Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang disaksikan oleh YBhg Prof Madya ChM Dr Nor Aziyah Bakhari, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTMCPP manakala JPN PP pula diwakili oleh YBrs Tuan Abdul Rashid Abdul Samad, Pengarah JPN PP sambil disaksikan oleh YBrs Tuan Abdul Said Hussain, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPN PP.
Dengan termeterainya MoU ini, ianya dilihat akan merancakkan lagi kerjasama dari segi perkongsian kepakaran dalam bidang pengajaran dan inovasi serta pelaksanaan aktiviti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Keterlibatan kesemua pihak dari pensyarah, guru mahupun pelajar sekolah merupakan aspek penting yang dititik beratkan di setiap aktiviti yang bakal dijalankan.
Hubungan di antara UiTM dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dikategorikan sebagai hubungan Rakan Kerjasama. Kolaborasi di antara kedua-dua pihak telah berjalan sejak sekian lama terutama dalam penganjuran program berkaitan STEM dan Inovasi diperingkat negeri mahu pun kebangsaan. Justeru itu, tempoh kerjasama selama 3 tahun yang termaktub di dalam MoU ini diharap dapat meningkatkan lagi kepakaran staf yang seterusnya akan disebarkan kepada pelajar disamping dapat melebarkan jaringan kerjasama universiti dan pihak sekolah.