Tabung sektor persaraan awam negara, , Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM selepas berlangsungnya Forum Pencerahan Sains Aktuari di pejabat KWAP di Kuala Lumpur hari ini.
KWAP dan UiTM bersetuju mengadakan kolaborasi bersama dengan matlamat mewujudkan hubungan kerja dalam pertukaran kepakaran dan pengetahuan, terutamanya dalam bidang matematik dan sains aktuari.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Syed Othman menyatakan kolaborasi ini dapat bertindak sebagai satu saluran membolehkan KWAP mendapatkan sumber pengetahuan dari UiTM dan pada masa yang sama membuka peluang besar bagi UiTM memanfaatkan kepakaran KWAP dalam pengurusan tabung persaraan.
“Sebagai universiti yang mempunyai kecemerlangan akademik dan rangkaian yang dinamik, kolaborasi dengan UiTM menyediakan KWAP satu saluran mendapatkan bimbingan dalam pelagai keperluan perniagaan, terutamanya yang melibatkan analisa kuantitatif dan kualitatif dalam penyelidikan yang merangkumi nilai liabiliti manfaat persaraan, permodelan risiko, pengurusan pelabauran dan pelbagai pengukuran prestasi”
“KWAP akan memperkasakan penerangan perancangan kewangan dan kesediaan persaraan melalui rangkaian UiTM secara siri program kesedaran tersasar dengan tujuan mempromosi pembinaan pengetahuan serta program sangkutan dan latihan industri bagi pelajar sarjana muda dan pascasiswazah “ menurut Syed Hamadah.
Beliau menambah “Dengan strategi pelbagai fokus, perkongsian pengetahuan dan khidmat nasihat kepakaran akan menyediakan sokongan dan kolaborasi dua hala dalam pembangunan kapasiti kedua-dua pihak”.
MoU yang ditandatangani oleh Syed Hamadah dan Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, disaksikan oleh Pengarah Strategi dan Prestasi Korporat KWAP Ismail Zakaria dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM, Profesor Ts Dr Haryani Haron.
Mohd Azraai Kassim mengatakan MoU ini akan menyediakan perhubungan sinergi selari dengan inisiatif kolektif UiTM untuk melangkaui pembangunan terkini dan isu-isu mutakhir dalam keselamatan sosial, terutamanya bagi sistem persaraan.
Beliau juga amat yakin hubungan dua-hala ini akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak. “Usaha menandatangani MoU ini yang digerakkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) akan memacu bakat dan kemahiran dalam perancangan pemadanan pelaburan asset dan liabiliti, menjurus kepada pengurusan dana persaraan yang lebih efisien.
Forum yang dikendalikan oleh UiTM dan dianjurkan oleh KWAP dihadiri oleh kakitangan KWAP dan UiTM memberi pendedahan mengenai sains aktuari dan hubungan dan manfaatnya kepada pesara dan perancangan persaraan.