Memoir Kejayaan Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Perak 2018-2021

Banyak kenangan pahit manis telah dilalui oleh Koordinator Pejabat Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Pn Nor Zarina binti Mohd Salim dalam membakar semangat anak-anak Pra Diploma untuk terus meniti kejayaan demi kejayaan. Cabaran terbesar adalah apabila beliau tidak dapat mendekati pelajar secara peribadi kesan dari pandemik yang melanda negara seawal bulan Mac 2020. Sebagai seorang koordinator yang komited dan bertanggungjawab serta mesra pelajar, beliau merangka pelbagai strategi bagi memastikan pelajar-pelajar terus dapat didekati.

Tempoh di antara 2018 hingga 2021 memperlihatkan kreativiti beliau dalam melakukan arus perubahan dalam pelbagai program yang dilaksanakan. Tahun 2018 sebelum Covid-19 melanda negara, beliau telah menganjurkan taklimat Pengarah PPT. Ia bertujuan memberi ruang kepada pelajar-pelajar mendengar secara terus nasihat dan peluang yang terbentang luas untuk menyuntik semangat mereka. Untuk memotivasikan pelajar-pelajar baru, sesi tersebut turut diselitkan dengan penyampaian plak pelajar terbaik PPT tahun 2017, Nurulshifa’ Binti Abdul Haleng Khanga yang telah berjaya mendapat CGPA 4.0.

Seperti satu kemestian, atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap anak bangsa, Pengarah tidak pernah jemu untuk hadir sekali lagi bagi bertemu pelajar-pelajar baru pada tahun 2018 kemasukan September. Usikan Pengarah “Ya lar nak…. teruskan dengan menonton drama Korea” membuatkan sebilangan pelajar tersipu malu kerana meskipun nadanya lembut, maksudnya begitu dalam sekali.

Selain taklimat wajib Pengarah PPT pada setiap semester, Pejabat PPT Kampus Seri Iskandar turut berkesempatan menganjurkan Program Taklimat Motivasi Pengarah PPT Bersama Pelajar PPT UiTM Perak 2019 sempena Ramadhan 2019 di mana Pengarah menjadi tetamu jemputan yang menambah kemeriahan program tersebut. Meskipun dalam keadaan berpuasa di tengah terik mentari, pelajar-pelajar dan staf PPT kelihatan begitu bersemangat untuk aktiviti ceramah motivasi bersama. Pada tahun ini, pelajar-pelajar agak bertuah kerana turut dikunjungi oleh delegasi pensyarah dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang menerangkan tentang program Pra Agroteknologi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Kemeriahan terus bergema di Dewan Al-Khawarizmi dengan alunan pantun dan montaj menarik susuna pelajar-pelajar PPT.

Gambar sebelum pandemik

Tidak kenal erti patah semangat, meskipun pandemik Covid-19 sedang ganas melanda negara, pelajar-pelajar tetap menjadi keutamaan. Sesi taklimat bersama PPT terus berjalan seperti biasa meskipun hanya secara atas talian, namun penyertaan dari pelajar-pelajar ternyata begitu memberangsangkan.

Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di UiTM cawangan Perak kampus Seri Iskandar telah banyak meninggalkan memoir kejayaan mereka. Puan Nor Zarina Binti Mohd Salim, selaku koordinator PPT UiTM cawangan Perak telah banyak membantu demi merealisasikan kejayaan tersebut. Berikut adalah gambar-gambar taklimat bersama Pengarah PPT.

Tahun 2020 dan 2021 sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) amat berbeza berbanding dahulu. Walakin begitu, ia tidak menjadi halangan untuk Pengarah besama pelajar PPT dalam sesi taklimat bersama. Senyuman yang terukir dan kata-kata nasihat untuk membakar semangat pelajar PPT agar mereka terus berjaya menjadi generasi yang mengharumkan nama UiTM dimasa akan datang. Terima kasih Prof. Madya Ts. Dr. Aini Jaapar selaku Pengarah PPT dan jasamu akan terpahat dalam minda pelajar sepanjang zaman.