PUNCAK ALAM, 21 Oktober 2023 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan (SMFP), telah menganjurkan program Edu Get Along dan Pemantapan Destini Siswa (EGAXPDS) bertempat di Dewan Kuliah 500 (DK500) bagi tujuan mengumpulkan kesemua mahasiswa baru yang telah memulakan sesi pengajian semester 1 pada 2 Oktober 2023 di Fakulti Pendidikan, UiTM. Program EGAXPDS merupakan satu sesi suai kenal sesama pelajar baru tanpa mengira latar belakang dan bidang pengajian masing-masing untuk membantu menghidupkan budaya adaptasi yang lebih positif dalam kalangan pelajar. Antara lain program ini mengandungi empat matlamat teras yang ingin dicapai, seperti yang berikut:
1. Memberi pendedahan kepada mahasiswa baru mengenai Fakulti Pendidikan serta persatuan yang terdapat dalam Fakulti Pendidikan.
2. Memastikan mahasiswa baru dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti.
3. Mengeratkan hubungan antara mahasiswa semester pertama Fakulti Pendidikan dengan ahli-ahli persatuan di bawah Fakulti Pendidikan.
4. Memupuk pengetahuandan kesedaran berkaitan ESI-iDart.
Seawal jam 8:00 pagi, dewan sudah mula dipenuhi pelajar untuk sesi pendaftaran. Seusai ucapan selamat datang dari pengerusi majlis program dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku, Wawasan Setia Warga UiTM dan Kami Guru Malaysia. Bacaan doa Qunut nazilah juga turut dibaca bersama sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin.
Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Dr. Khadijah Said Hashim selaku Penyelaras Kepimpinan Fakulti Pendidikan dan Penasihat Program EGAXPDS. Dalam ucapan tersebut, beliau menitipkan pesanan kepada mahasiswa dan mahasiswi bahawa proses pembelajaran bukan sahaja berlaku di dalam kelas (classroom learning) tetapi interaksi luar kelas dan penglibatan pelajar dalam aktiviti kepimpinan, persatuan dan kesukarelawanan sangat penting untuk menjadikan pelajar lebih matang, kekal relevan dan mempunyai kemahiran sosial serta empati yang tinggi. Tambah beliau, di universiti, pelajar haruslah menggunakan peluang dan ruang yang ada sebaik mungkin untuk mengenali antara satu sama lain dan belajar budaya yang berbeza dengan menitikberatkan rasa hormat dan nilai torelansi serta rendah diri.
Turut hadir pada program ini adalah Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan (MPP), saudari Nur Fatini Hazan dan saudari Nur Athira Kamilia Abdul Rahim. Aktiviti utama ialah sesi suai kenal bersama MPP diikuti dengan Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan, Persatuan Dalaman Fakulti Pendidikan dan ucapan Pengarah Program saudara Mark Clarence Anak Reuter. Mahasiswa/i yang hadir terdiri daripada pelajar Program Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) seramai 123 orang, pelajar Pendidikan Seni Visual seramai 15 orang, pelajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan seramai 35 orang, pelajar Pendidikan Matematik seramai 60 orang dan pelajar Pendidikan Sains seramai 17 orang (Biologi), 27 orang (Fizik) dan 31 orang (Kimia).
Pada sesi kali ini, jumlah keseluruhan mahasiswa yang terlibat dalam program EGAXPDS adalah seramai 308 orang. Pelajar kemudiannya dipecahkan dan dibahagikan kepada 25 kumpulan secara rawak dengan bimbingan 25 orang fasilitator yang terdiri daripada 16 orang ahli jawatankuasa (AJK) SMFP dan 9 orang daripada AJK persatuan dalaman Fakulti Pendidikan. Beberapa aktiviti telah disusun dan dijalankan untuk mencapai objektif EGAXPDS pada kali ini. Antara aktiviti yang dijalankan semasa Latihan Dalam Kumpulan (LDK) ialah menghasilkan sebuah bendera yang melambangkan kumpulan masing-masing. Melalui aktiviti tersebut, nilai kerjasama dapat disemai dalam kalangan mahasiswa sekaligus mendorong semangat kolaborasi tanpa mengira latar belakang dan jurusan di Fakulti Pendidikan. Kemahiran berkomunikasi dan kerjasama sebagai satu kumpulan juga menjadi asas dan tunjang utama bagi sesebuah organisasi yang bakal diterajui kelak.
Pada sesi petang pula, program diteruskan dengan Sesi Taklimat Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Anuar Mohd Maasom, selaku Pustakawan Kanan PTAR. Taklimat dan sesi perkongsian ini adalah sebagai langkah persediaan kepada pelajar untuk lebih cakna kepada fungsi dan peranan PTAR dalam membantu mereka di universiti terutamanya dalam mencari bahan-bahan rujukan untuk pembelajaran dan tugasan masing-masing. Akhir sekali, program EGAXPDS mengalu-alukan kedatangan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Ab Rahman yang telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau dalam Sesi Aplikasi Nilai ESI-iDart. Dr Zarizi meletakkan harapan yang tinggi beliau kepada semua mahasiswa/i untuk menanamkan niat dan tujuan menjadi seorang pendidik dengan berpandukan nilai-nilai ESI-iDart dalam mendidik masyarakat di masa akan datang. Diharapkan program EGAXPDS akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pengisian dan format yang lebih dinamik dan relevan mengambil kira penambahbaikan dan cadangan dari pelbagai pihak terutamanya daripada pelajar Fakulti Pendidikan. Semoga pengalaman di universiti akan lebih bermakna dengan pengisian program awalan seperti ini, agar mahasiswa/i lebih bersedia, lebih cakna dan paling penting saling kenal dan berinteraksi di antara satu dengan yang lain.
Berita ditulis oleh:
Dr. Khadijah Said Hashim & Nurul Iyliana Natasha Zaidi
Galeri Gambar: