Membina Generasi Celik Maklumat, Celik Warisan Bangsa

SHAH ALAM, 5 OGOS 2024: Seramai 45 orang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah telah berjaya menghadiri program Literasi Maklumat Komuniti Sekolah pada 2 hingga 4 Ogos 2024.

Menurut Ketua Pustakawan UiTM Ts Haji Azizi Haji Jantan, program Literasi Maklumat Komuniti Sekolah adalah pendekatan strategik keterlibatan perpustakaan di dalam komuniti. Program ini menjadi medium bagi pemindahan ilmu dan menyebar luas kemahiran literasi maklumat yang sememangnya merupakan kepakaran profesion Pustakawan. Tambahnya lagi, cabaran dalam mengesan, menilai dan menyebar maklumat semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kecelaruan di dalam masyarakat.

Program anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar 2024/2025 Universiti Teknologi MARA  Shah Alam bermatlamat membina kemahiran maklumat dan strategi pencarian maklumat yang amat berguna dalam dunia pembelajaran hari ini yang semakin mencabar.

Disamping itu, komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) Sultan Azlan Shah, Bota Perak turut diperkenalkan dengan koleksi Khas Jawi UiTM yang menempatkan 800 naskah yang terdiri daripada kitab-kitab kuning bertulisan Jawi yang ditulis oleh ulama tersohor Nusantara, Al-Quran UiTM dan manuskrip Al-Quran berusia 200 tahun agar generasi muda dapat mengenali dengan lebih dekat seni warisan bangsa.