Membangunkan Modal Insan: Model Pemerkasaan Pelajar Graduan UiTM (MGU) sebagai Wadah Inovasi BHEP,UiTM

Dunia hari ini menghadapi cabaran dan peluang yang berubah dengan cepat dalam zaman volatility, uncertainty, complexity, and ambiguity (VUCA), yang merangkumi keadaan kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan, dan kesamaran di pelbagai aspek. Mahasiswa perlu menyedari bahawa kejayaan tidak hanya bergantung pada pengetahuan dalam bidang masing-masing, tetapi juga kemahiran insaniah, berkomunikasi, berfikir kritis, kestabilan jiwa, kekuatan rohani dan emosi, serta kemahiran menyelesaikan masalah. Dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif dan dinamik, graduan perlu memperkukuhkan kemahiran ini serta meningkatkan kecekapan Bahasa Inggeris dan teknologi maklumat. Oleh itu, mahasiswa perlu memanfaatkan peluang yang ada di universiti untuk meningkatkan kemahiran ini.

Pada 15 Mac 2024, Enstek, Negeri Sembilan – Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi MARA, telah menganjurkan sebuah bengkel bertajuk “Model Pemerkasaan Pelajar Graduan UiTM (MGU)” sebagai Wadah Inovasi BHEP UiTM. Program ini berinisiatif untuk meningkatkan kualiti graduan UiTM melalui latihan kemenjadian diri, kemandirian, dan pemantapan jiwa, pemikiran, emosi, semangat, aspirasi, dan tingkahlaku berdasarkan DNA UiTM iaitu Usaha, Takwa, Mulia. Ini diwujudkan melalui Modul Aspirasi UTAMA [USAHA-TAQWA-MULIA].

Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), mendorong mahasiswa untuk ambil inisiatif di luar bilik kuliah, seperti program kesukarelawanan, penyelidikan, pertukaran pelajar antarabangsa, dan pembangunan diri yang dijalankan oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah BHEP. Pengalaman ini akan memperluas pengalaman dan membuka peluang baru di masa depan. BHEP mengenali cabaran dunia yang kompleks dan memperkenalkan Model Pemerkasaan Graduan UiTM (MGU) untuk melahirkan graduan holistik yang memenuhi keperluan industri. Melalui MGU, mahasiswa meningkatkan potensi mereka dan program-program ditumpukan pada pelbagai kemahiran serta nilai-nilai penting seperti akhlak, sahsiah, ilmu, daya saing, patriotisme, intelektual, kesukarelawanan, keterampilan, dan kecergasan holistik berpaksikan Usaha-Taqwa-Mulia (UTAMA).

Prof Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Pengarah IKP, menyatakan bahawa semua modul dan program di BHEP UiTM akan dipetakan kepada Model Graduan UiTM (MGU) untuk memastikan keselarasan dengan kriteria yang ditetapkan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pertindihan kriteria dan komponen serta menyelaraskan modul, aktiviti, atau program agar selari dengan MGU. Dengan cara ini, penggunaan sumber dan kos dapat dioptimumkan, manakala keberkesanan program juga dapat diukur dengan lebih berkesan. Selaras dengan ini, BHEP UiTM telah membangunkan Modul Aspirasi UTAMA [Usaha-Taqwa-Mulia] bagi para mahasiswa dan mahasiswi UiTM, yang diselaraskan dengan pembangunan MGU.

Menurut Dr Ezza Rafedziawati, Koordinator Kenegaraan IKP, Modul Aspirasi UTAMA ini mengandungi 6 Aspirasi iaitu Aspirasi 1 mengenai Asas DNA UiTM, Aspirasi 2 mengenai UiTM Cergas, Sihat Sejahtera, Aspirasi 3 mengenai Celik Fikir, Aspirasi 4 mengenai Asas Keselamatan Negara, Aspirasi 5 mengenai Jiwa UiTM dan Aspirasi 6 mengenai Kecemerlangan dan Kemandirian Mahasiswa. Kesemua Aspirasi di dalam Modul ini perlu diikuti oleh para mahasiswa semester satu, semester dua dan semester tiga bagi program pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Felo Inovasi Di BHEP, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono ujarnya, pelaksanaan Modul Aspirasi UTAMA secara hibrid, gabungan antara pertemuan bersemuka dan penggunaan platform atas talian BOOM HEP di U-Future. Pelaksanaan ini dirancang untuk memastikan keterlibatan yang optimum dari para peserta. Secara fizikal, modul ini akan mengadakan latihan dalam kumpulan, sementara di platform dalam talian, peserta akan menggunakan U-Future dan aplikasi mudah alih untuk mengakses enam elemen penting, termasuk:

  1. Kehadiran secara dalam talian
  2. Soalselidik sebelum program Modul Aspirasi
  3. Aktiviti pembelajaran dalam talian (modul, video, dan penilaian)
  4. Maklum balas pelajar terhadap program
  5. Soalselidik selepas program Modul Aspirasi
  6. Penerimaan sijil secara dalam talian

Pendekatan ini membolehkan akses yang lebih mudah, berinteraksi dengan pelbagai sumber pembelajaran, dan memberikan peluang untuk mendapatkan maklum balas secara langsung, meningkatkan kesan keseluruhan modul. Adalah diharapkan, melalui strategi pengukuhan dan pemantapan pembangunan pelajar di BHEP ini, para mahasiswa UiTM akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan memperkukuhkan keupayaan mereka menjadi graduan yang berjaya dan menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Penulis Utama: Zaiha Ahmad, Nordiana Ibrahim, Dr Ezza Rafedziawati Kamal Rafedzi, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi

Penulis Bersama: Prof Madya Dr Alwi Mohd Yunus, Datuk Ts Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Najihah Azmi, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman