1 Oktober 2024 – UiTM Cawangan Perak telah menganjurkan Bengkel Kompetensi dan Pemantapan Juruaudit Dalaman EKSA serta Penyeragaman Imej Korporat pada 30 September hingga 1 Oktober 2024 bertempat di UiTM Seri Iskandar. Bengkel ini meghimpunkan 34 juruaudit dan fasilitator audit dalaman EKSA dari Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah, dengan objektif utama meningkatkan kefahaman pengauditan dan memberi panduan kepada peserta tentang perlaksanaan audit EKSA yang berkesan.
Program bermula dengan ucapan pembukaan oleh Penyelaras EKSA UiTM Cawangan Perak, Dr. Lizawati Abdullah, yang menekankan pentingnya EKSA dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan efisien. Seterusnya, Ketua Audit EKSA En. Mohd Zikri Mohd Zaki merangkap pengarah program turut membentangkan hasil exit audit EKSA 1/2024 bagi UiTM Kampus Seri Iskandar, manakala Pn. Nur Azila Yahya membentangkan exit audit bagi UiTM Kampus Tapah dengan menggariskan pencapaian serta aspek yang perlu diperbaiki.
Sesi taklimat mengenai penyeragaman imej korporat oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat, En. Azrul Bahaluddin, turut menarik perhatian peserta. Beliau berkongsi teknik penyeragaman imej korporat, amalan hijau yang dipraktikkan, temasuk tips pemilihan warna dinding yang bersesuaian di ruang tempat kerja agar selaras dengan imej korporat. Program diteruskan dengan sesi pengenalan kepada dasar dan objektif EKSA.
Peserta turut diberi panduan tatacara menyediakan laporan bergambar yang disampaikan oleh Encik Salahuddin Abdul Hakeem Abas dan tatacara pengisian markah yang dinilai dalam setiap komponen didalam sistem E-SAD oleh Puan Norliana Omar. Sistem ini telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Inovasi Audit Dalaman EKSA UiTM Cawangan Perak. Di samping itu, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk sesi pengauditan ‘hands on’, yang dijadualkan pada hari kedua program.
Pada hari kedua, peserta sangat teruja kerana berpeluang membuat lawatan ke Unit Komunikasi Korporat yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam mempromosikan konsep amalan hijau. Kemudian, kumpulan-kumpulan mula bergerak mengikut zon yang telah ditetapkan bagi melaksanakan latihan pengauditan. Aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan ilmu seterusnya memahami kehendak EKSA bagi komponen dan ruang yang terlibat.
Setelah sesi lawatan, peserta berkumpul semula untuk mengisi pemarkahan di dalam sistem E-SAD dan menyiapkan laporan bergambar. Setiap kumpulan diberi peluang untuk membentangkan penemuan mereka, di mana Jawatankuasa Induk EKSA turut memberikan maklum balas yang membina. Sesi ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran menulis laporan yang betul tetapi juga membolehkan peserta belajar daripada satu sama lain.
Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya. hampir 100% peserta melaporkan kepuasan yang tinggi didalam meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pelaksanaan audit EKSA. Penganjuran ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran juruaudit tetapi juga menggalakkan semangat kerjasama dan inovasi dalam pelaksanaan EKSA.
UiTM Perak komited untuk terus memperkasakan kemahiran juruaudit bagi mencapai piawaian EKSA yang lebih tinggi seterusnya melayakkan untuk mendapat pensijilan EKSA dimasa akan datang.
Disediakan oleh: Nur Azila Yahya, Mohd Zikri Mohd Zaki