Slim River, 19 September 2024 – Program Ukur Bangunan dari Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JABT), UiTM Cawangan Perak, telah dilantik oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai Penyedia Latihan TVET kepada komuniti Orang Asli di Pos Bersih, Slim River, Perak. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal komuniti tersebut melalui latihan komprehensif yang memberikan mereka pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam bidang pembinaan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh kedudukan mereka dalam masyarakat.
Kursus selama 8 hari yang berlangsung disertai oleh sepuluh (10) peserta dari Pos Bersih, Slim River dan dibiayai sepenuhnya melalui geran komuniti oleh PASAK dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Senoi Perak (PKSP) dan Pusat Latihan & Pembangunan Komuniti (PLPK) di bawah HRD Corp. Kandungan kursus meliputi modul-modul berkaitan pembinaan, seperti kerja-kerja pertukangan kayu, pengikatan besi, ujian konkrit, dan pembinaan struktur asas. Peserta dilatih bukan hanya melalui teori, tetapi juga amali, memberikan mereka pengalaman ‘hands-on’ yang berharga dalam teknik pembinaan moden.
Ativiti yang dijalankan menawarkan peluang pembelajaran baharu, bermula dengan pengenalan kepada kerja kayu, diikuti modul berkaitan seperti ikatan besi dan ujian konkrit. Modul-modul ini direka khas untuk memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek teknikal pembinaan, tetapi juga kepentingan keselamatan dan kualiti kerja. Aktiviti berkumpulan memberikan suasana pembelajaran yang interaktif dan membina selain memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Peserta juga didedahkan kepada teknik membaiki kecacatan bangunan, termasuk retakan dan kebocoran, bermtlamat memastikan struktur bangunan kekal kukuh dan bertahan lama. Pengetahuan ini membolehkan mereka mengenal pasti dan mengatasi masalah yang sering dihadapi dalam industri pembinaan, sekali gus meningkatkan nilai kemahiran mereka. Program diakhiri dengan majlis penyampaian sijil dan penyerahan hasil kerja kursus kepada komuniti sebagai simbolik sumbangan mereka.
Secara keseluruhannya, program ini tidak hanya memberikan kemahiran teknikal yang relevan dan berdaya saing kepada peserta, tetapi juga memperkukuhkan rasa percaya diri dan tanggungjawab sosial mereka. Pengalaman praktikal yang diperoleh membantu peserta mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan sebenar, memberi peluang kerjaya kepada mereka untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, dan membuka jalan ke arah kehidupan yang lebih baik. Program ini membuktikan bahawa pendidikan teknikal dapat menjadi alat transformasi yang penting bagi komuniti Orang Asli, membawa mereka lebih dekat kepada peluang ekonomi dan sosial yang lebih baik.
Artikel ini ditulis oleh Ts. Zaimah Zainal Abidin dan Ts. Sr Dr. Hasnan Hashim, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak