SHAH ALAM, 25 JUN 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama syarikat biofarmaseutikal global Pfizer dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia telah bekerjasama mengadakan program ‘MEGA STEM4FUN’ yang telah berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM. Program telah dirasmikan oleh YBhg. En. Mustaffa Kamil Ayob, Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
Program ini dijalankan mengunakan konsep TOT – train of trainers di mana warga pendidik UiTM dari Kolej Pengajian Kejuruteraan memberi pendedahan kepada warga guru sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dalam menjalankan aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) bagi menarik minat para pelajar.
Program ini melibatkan pendedahan teknologi terkini melalui pengunaan gajet sebagai alat bantuan mengajar seperti teknologi penderian dalam memantapkan pemahaman para pelajar dalam subjek STEM. Ia juga merupakan pengalaman pembelajaran baharu mengenai STEM terutamanya dalam bidang peranti elektron. MEGA STEM4FUN ini juga dilaksanakan bersama industrI dan NGO melalui kerjasama pintar bagi mewujudkan Quadraple Helix antara entiti universiti, industri, agensi Kerajaan dan komuniti iaitu sekolah. Rakan strategik yang turut serta menyokong program ini adalah Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia, Pfizer, AR Distributor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak 300 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dan program bakal memberi manfaat kepada 1000 orang guru dan 9000 murid.
Menurut Ketua Projek, Prof. Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar bersama lima ahli iaitu Prof. Ir. Dr. Norhayati Soin, Prof. Madya Dr. P. Susthitha Menon, Ir. Ts. Dr. Rozina Abdul Rani, Ir. Dr Maizatul Zolkapli, Ird r Hazian Mamat dan Ir. Dr. Azrif Manut, aktiviti ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk memperkasakan pengetahuan STEM dalam melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang STEM yang menjadi teras Revolusi Industri 4.0. Murid-murid disekolah perlu didedahkan dengan budaya inovasi bagi melahirkan bakat yang kreatif dan berdaya saing serta mempunyai pemikiran kritis. Kecemerlangan murid STEM ke peringkat tertiari ini dapat mengalakkan penyelidikan, pembangunan dalam ciptaan baru dan inovasi.
Program ini merupakan sumbang bakti warga pendidik dan mahasiswa kejuruteraan Universiti Teknologi MARA kepada komuniti terutamanya pelajar dan guru sekolah. Peningkatan minat pelajar sekolah terhadap subjek berteraskan STEM tidak seharusnya terletak di bahu Kementerian Pendidikan Malaysia semata-mata, Institusi Pendidikan Tinggi seperti UITM juga harus memainkan peranan yang lebih luas dalam memastikan enrolmen pelajar berteraskan STEM meningkat. Semoga program ini berjaya memberikan impak positif selaras dengan tagline UiTM iaitu “Unleashing Potentials, Shaping the Future”.
Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Prof Ir. Ts. Dr. Hamidah Mohd Saman berkata dalam era digital dan Revolusi Perindustrian 4.0, adalah amat penting bagi generasi muda mempunyai kemahiran yang relevan dan diperlukan oleh industri bagi memastikan mereka mempunyai peluang yang cerah dalam menjamin peluang pekerjaan samada di dalam atau di luar negara. Program MEGA STEM4FUN bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep STEM, tetapi juga untuk memberikan mereka pengalaman praktikal melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif.
Pfizer Malaysia menyokong program MEGA STEM4FUN demi matlamat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dari pelbagai peringkat umur, melalui pemindahan ilmu berteraskan STEM. Program ini merupakan peluang pihak universiti, industri dan kerajaan berganding bahu membawa perubahan yang nyata demi melahirkan lebih ramai pelajar yang meminati subjek berteraskan STEM di sekolah dan institusi Pendidikan tinggi.