SHAH ALAM, 16 JUN 2023 ā Kelab Media Komunikasi Siswa atau lebih dikenali sebagai MedComm Siswa merupakan kelab media pelajar yang ditubuhkan khas di bawah seliaan Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). MedComm Siswa mula ditubuhkan sejak Jun 2022 dengan kekuatan ahli seramai 20 orang. MedComm Siswa terdiri daripada empat jabatan iaitu Jabatan Multimedia dan Grafik, Jabatan Penulisan Kreatif, Jabatan Perhubungan Awam dan Jabatan Fotografi dan Videografi.
Sejak penubuhannya, MedComm Siswa terus membina nama mereka dalam kalangan warga UiTM. MedComm Siswa telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam media sosial. Melalui usaha penjenamaannya, MedComm Siswa telah berjaya mencapai kecemerlangan untuk memaksimumkan pendedahan mereka dalam tempoh masa yang singkat. Dengan topik yang menarik untuk dibincangkan, kepelbagaian kandungan dan kepelbagaian personaliti, kelab ini berusaha untuk melahirkan mahasiswa UiTM dengan trend, isu dan maklumat terkini dengan cara penyampaian yang menarik.
Pertumbuhan positif ini membolehkan MedComm Siswa meneruskan inisiatif sebagai platform yang berfungsi untuk merapatkan jurang komunikasi antara mahasiswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Bukan itu sahaja, MedComm Siswa juga berhasrat untuk menyediakan kandungan maklumat buat tatapan orang di luar sana tanpa mengira sama ada mereka warga UiTM mahupun tidak. Hal ini demikian kerana ia boleh menjadi pendedahan awal kepada mereka tentang kehidupan sebagai seorang pelajar UiTM.
Selain daripada video pendek, kencenderungan MedComm Siswa adalah terhadap kandungan berasaskan edutainment (hiburan pendidikan) yang lebih panjang seperti podcast. Siri podcast yang dikenali sebagai Medcomm Dā Podcast, berfungsi untuk menangani isu atau membincangkan pengalaman yang dihadapi oleh mahasiswa secara terperinci, menampilkan ahli kelab serta tetamu jemputan daripada pelbagai jabatan dalam UiTM dan universiti lain. Setakat ini, setiap satu episod memberikan penonton pengalaman yang boleh dikaitkan sebagai seorang penuntut universiti seperti budaya perayaan, stereotaip dalam kalangan pelajar dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, MedComm Siswa terbukti mampu memenuhi keperluan era digitalisasi masa kini dalam kalangan mahasiswa. Dengan momentum yang proaktif, MedComm Siswa berusaha untuk terus melahirkan pelajar dengan informasi tepat dan berkualiti tinggi dengan kaedah penyampaian maklumat yang menarik, berkesan dan mudah ditafsirkan oleh para penonton di samping menjadi penyalur maklumat antara pelajar dan BHEP. Oleh itu, MedComm Siswa boleh dihubungi di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram @medcommsiswa untuk sebarang maklumat lanjut.