SHAH ALAM, 30 OKTOBER 2023 – Julung kalinya hadir dengan idea dan trend terkini, Media Komunikasi (MEDCOMM) Siswa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM telah menganjurkan program MEDCOMM: Semenanjung D’ Tour yang telah berlangsung pada 20 hingga 29 Oktober 2023 dan melibatkan 12 kampus UiTM cawangan di semenanjung Malaysia. Mengikut arus digitalisasi pendidikan, ia merupakan satu inisiatif julung kali yang digerakkan oleh MEDCOMM. Inisiatif baharu yang menggunakan konsep “podcast” dan temu ramah untuk ditayangkan di media sosial dijadikan pilihan MEDCOMM untuk ditawarkan kepada para mahasiswa.
Program berimpak tinggi yang diadakan ini bukan sahaja melibatkan UiTM Shah Alam sebagai kampus induk semata-mata, malahan dengan wujudnya program sebegini dapat memberikan ruang serta peluang kepada seluruh mahasiswa UiTM semenanjung Malaysia dalam memberikan idea serta pandangan terhadap kampus cawangan masing-masing di samping meningkatkan ketampakan UiTM cawangan di media arus perdana.
Hebahan ‘road tour’ ini juga telah disambut baik oleh pelajar apabila tontonan video poster acara telah mendapat jumlah tontonan lebih satu ratus ribu hanya dalam tempoh 12 jam hebahannya. Pelajar meluahkan rasa keterujaan untuk bertemu dengan ahli MEDCOMM dan menyampaikan hasrat supaya dapat ditemu ramah dan berkongsi kisah mereka.
Media Komunikasi Siswa (MEDCOMM) amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Dengan berjalannya program Medcomm: Semenanjung D Tour ini, semakin besarlah rangkaian kisah yang dapat dikupas oleh MEDCOMM daripada pelajar UiTM di Malaysia. Satu platform kisah, platform mendapatkan informasi, dan platform untuk mengenali UiTM dengan cara baharu.
Acara flag off MEDCOMM: Semenanjung D’ Tour yang telah dijalankan pada 20 Oktober 2023 bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Timbalan Naib Canselor (HEP) menzahirkan keterujaan apabila MEDCOMM Siswa menjadi salah satu persatuan media pelajar yang aktif mengupas isu dan kemenjadian mahasiswa selari dengan era globalisasi masa kini.