Math Step-Up@UiTM Tarik Minat Pelajar Sekolah Mendalami Matematik

MUKAH, 27 APRIL 2024 – Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) dengan kerjasama Biro Pendidikan Mukah dan Pejabat Pendidikan Daerah Mukah telah menganjurkan satu Program Komuniti: Math Step-Up@UiTM pada 27 April 2024 di Dewan Tellian, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah. Program yang diketuai oleh Puan Puteri Faida Alya binti Zainuddin ini telah melibatkan seramai 60 orang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mukah, Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Patrick yang turut diiringi seramai 15 orang guru Matematik daripada sekolah terlibat.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan yang lebih jelas berkaitan dengan subjek Matematik Moden selain menjadi satu persediaan awal kepada peserta untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, program ini juga melibatkan perkongsian kepakaran dan ilmu daripada Pensyarah Kanan KPPIM, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Professor Madya Dr. Tang Howe Eng kepada guru-guru Matematik melalui sesi Perkongsian Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Matematik.

 

Pengisian program ini adalah berfokus kepada aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) di dalam kumpulan kecil yang menekankan silibus Matematik Moden Tingkatan 4 seperti Fungsi dan Persamaan Kuadratik Dalam Satu Pemboleh Ubah, Rangkaian Dalam Teori Graf, serta Sukatan Gerakan Data Tak Terkumpul. Selain itu, permainan berasakan penggunaan silibus Matematik turut dijalankan seperti Quadzzle, Graph Theory Gold Rush, dan Dispersion Domination Game. Kesemua aktiviti LDK dan permainan ini dikendalikan oleh pensyarah KPPIM iaitu Puan Suffina binti Long, Cik Hazfina binti Mohamed Idris, Encik Akmal Shafiq bin Badarul Azam, Cik Sarah Farhana binti Zamalik, dan Encik Muhammad Zulkhairi bin Zakariah. Program ini turut dibantu oleh pelajar-pelajar daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi serta Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Royston bin Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.57 Tellian, merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Mukah. Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Dr. Mohamed Khirul Nizzuan bin Hamzah selaku wakil Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Professor Madya Dr. Abdul Razak bin Abdul Kadir, Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Encik Mohd Shazwan bin Seun, Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Mukah, dan Encik Muhammad Syukrie bin Hj. Abu Talip, Ketua Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah.