MRSM Kuala Kubu Bharu, 16 Ogos 2024 – Sebuah program Math Outreach telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Dengan penyertaan 100 orang peserta dari kalangan pelajar Tingkatan 5, program ini bukan sekadar memberikan pendedahan, tetapi juga telah menguji dan memperkukuhkan kemahiran matematik melalui pendekatan penyelesaian masalah yang praktikal.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu matematik. Menggunakan modul permainan interaktif Math Detective dan Math Career Role Play, para peserta telah berpeluang menggabungkan elemen seni dan kreativiti dalam penyelesaian masalah berkaitan matematik agar lebih menarik dan bermakna.
Seramai 12 pensyarah Pusat Pengajian Sains Matematik KPPIM telah bertindak sebagai fasilitator program. Para peserta turut didedahkan dengan potensi kerjaya bidang sains matematik, seperti Saintis Data, Penganalisis Data, Ahli Kriptologi, dan seumpamanya. Rata-rata pelajar mendapati bidang sains matematik adalah amat menarik dan membuka pelbagai peluang membina kerjaya.
Maklumbalas yang luar biasa serta impak positif daripada program ini menunjukkan bahawa Math Outreach berpotensi besar menjadi satu program berkesan di dalam membina generasi pelajar yang celik matematik dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan. Dengan lebih banyak program seumpamanya diadakan, adalah dipercayai minat dan keterlibatan pelajar ke bidang Science, Technology, Engineering, Art dan Mathematics (STEAM) akan lebih memberangsangkan.
Penulis : Mohd Hakim Jamil, Nur Hazwani Aqilah Abdul Wahid. Editor : KPPIM News Team – Afdallyna Fathiyah Harun