MAP 2021 Raikan Pelajar Penyiaran

Baru-baru ini Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau telah meraikan seramai 188 penerima anugerah dekan di atas kecemerlangan akademik bagi semester September 2020  hingga Januari 2021. Majlis yang diadakan secara atas talian itu dianjurkan Persatuan Pelajar Penyiaran atau The CAST telah mendapat liputan beberapa media iaitu Awani, Didik TV dan Berita TV9.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua majlis yang dinamakan ‘Majlis Apresiasi Penyiaran’, MAP 2021 ini disiarkan secara langsung menggunakan aplikasi strim langsung, Streamyard susulan pelaksanaan pembelajaran di atas talian. MAP 2021 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa dan mahasiswi penyiaran UiTM Kampus Rembau dan penonton di laman YouTube The CAST.

Siaran MAP 2021 turut diserikan dengan kehadiran Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Massila Hamzah yang bersama dari awal hingga akhir program sepanjang 2 jam. Termasuk barisan kepimpinan tertinggi akademik FKPM termasuk Timbalan Dekan Akademik, Dr. Wan Hartini Wan Zainodin, Penolong Rektor Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Muhammad Hakimi Tew Abdullah dan Ketua Pusat Pengajian FKPM Kampus Rembau, Puan Maizura Manshor.

Selain meraikan pelajar, MAP 2021 turut memberikan peluang kepada pelajar mengasah bakat kemahiran penyiaran seperti pengendalian strim langsung penyiaran dan pengacaraan. Turut dipersembahkan nyanyian dan aktiviti seperti cabutan bertuah dan pakaian terbaik yang menawarkan wang tunai kepada pemenang. MAP 2021 telah mendapat tontonan lebih 1,500 tontonan sepanjang ia berlangsung.

Untuk melihat liputan-liputan media yang telah diberikan, boleh melayari laman web yang berikut:

https://www.youtube.com/watch?v=JQPAKZgLp9U

https://youtu.be/nQlZnOsdlmo

https://www.astroawani.com/video-malaysia/uitm-majlis-apresiasi-maya-ubati-cabaran-pelajar-1913410

MAP 2021 dibimbing penasihat program dan juga pensyarah penyiaran, Puan Nurul Aishah Ab Raman selain dibantu dua penasihat The CAST yang lain iatu Encik Noor Hilmi Mohd Johan dan Puan Isma Zuriyya Ismail.

The CAST adalah persatuan yang berdaftar sejak 2017 di bawah Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan mempunyai sekitar 250 ahli yang terdiri daripada semua pelajar penyiaran dari semester 1 hingga 6 FKPM UiTM Kampus Rembau.