Manifestasi Kerjasama Akademik-Industri: Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek Nex Gen My Digital ID

KUALA LUMPUR, 21 November 2024 -MIMOS Services Sdn. Bhd. bersama Bidang Grafik dan Media Digital, serta Bidang Fotomedia Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan program kerjasama iaitu penganjuran Pertandingan Video Pendek Nex Gen My Digital ID pada Oktober 2024 yang lalu.

Kemuncak kepada program ini ialah majlis penyampaian hadiah yang telah berlangsung di Ibu Pejabat MIMOS, Taman Teknologi Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Services Sdn. Berhad. iaitu Encik Fauzi Yahaya, dan Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) KPSK, UiTM iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Wan Aida Wan Yahaya.

Tujuan pertandingan adalah untuk memperkasakan penggunaan aplikasi MyDigital ID dalam kalangan seluruh masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan muda. Ia sejajar dengan tema yang diketengahkan iaitu, ‘Inovasi untuk Masa Depan yang lebih Proaktif’ .

Selain itu, pertandingan ini juga adalah untuk memberi galakan dan pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar tentang proses pembikinan video kreatif untuk sosial media. Sebanyak 122 video daripada 94 orang pelajar telah dimuat naik di platform TikTok sebagai syarat utama penjurian. Sejumlah 728,367 ‘view’ dan 52478 ‘like’ oleh penonton telah direkodkan.

Hasil akhir penjurian telah menobatkan tiga orang pelajar dari bidang Seni Reka Grafik sebagai antara pemenang, iaitu Adam Muqrish bin Ramli (tempat pertama), Nur Atilia Afrina binti Suhaizam (tempat ketiga), dan Yang Deena Nabilah binti Mohamad (saguhati).

Tahniah kepada pemenang dan juga pensyarah pembimbing Encik Afifi Tarmizi.

Mohd Faizol Haini, Fazlina Jaafar, Ezal Daud