Malaysia Speaking Minds Competition 2019

Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama kelab EAGLES Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah

Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama kelab EAGLES Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah menganjurkan pertandingan Malaysia Speaking Minds Competition 2019 (MSMC’19). Program ini merupakan program tahunan bagi Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah dan telah menjadi sebuah program peringkat antarabangsa.

Program ini bertujuan untuk memperlihatkan diversiti bidang ilmu dan kemahiran yang diterapkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, menjadi sebuah platform bagi menyampaikan idea secara professional yang mampu meningkatkan nilai kualiti dalam diri peserta serta mencabar kemampuan pemikiran penuntut IPTA/IPTS bagi mengemukakan idea yang bernas yang mampu membawa pembaharuan dalam bidang ilmu khususnya dan kehidupan secara amnya.

Pertandingan MSMC’19 ini telah mendapat sambutan hangat dan seramai 62 orang peserta daripada Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia, Taylor’s College, Subang Jaya, Selangor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani dan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dan Kampus Rembau.

MSMC’19 ini telah diadili oleh 8 orang juri dari pelbagai IPT seperti Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Politeknik Muadzam Shah dan Universiti Teknologi Malaysia.

Program yang bertempat di Dewan Kuliah 200 dan Smart class room UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah ini telah bermula dari jam 10.00 pagi hingga 3.30 petang.

“Saya mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi kerana program seperti ini merupakan platform kepada para peserta untuk bertukar idea, informasi dan meluaskan lagi kenalan mereka”, kata Encik Mohd Zulhilmi bin Mohd Yunus, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang turut hadir bagi merasmikan program Malaysia Speaking Minds Competition 2019.

Disamping turut memperkenalkan hashtag #MSMC19 di laman sosial instagram, program ini juga boleh ditonton Live Facebook sepanjang perjalanan program dan mendapat 230 tontonan dimana para peserta boleh melihat video dan gambar mereka sepanjang program secara langsung melalui hashtag tersebut.

Pengarah Program Malaysia Speaking Minds Competition 2019, Cik Nur Alyamunirah binti Yunos berkata, program sebegini dapat membantu para mahasiswa untuk meningkatkan “academic research visibility” kerana mereka berpeluang untuk mengetengahkan hasil kajian penyelidikan yang dijalankan.

Menurut Penasihat Program, Dr Nurul Auni binti Zainal Abidin, ““Pertandingan MSMC’19 ini merupakan pertandingan komunikasi penyelidikan yang baik dimana ia dapat membangunkan kemahiran akademik dan kemahiran pembentangan serta pada masa yang sama, menyokong kepada pembangunan keupayaan pelajar dalam penyelidikan, terutamanya dalam menjelaskan hasil pembentangan mereka dengan cara yang lebih santai serta gaya bahasa yang sesuai kepada mereka yang bukan didalam bidang sains. Selain itu, pertandingan seperti ini merupakan satu strategi penjenamaan universiti ke peringkat antarabangsa secara tidak langsung”.

Program ini telah menawarkan hadiah tempat pertama, kedua, ketiga berserta wang tunai dan 7 hadiah saguhati. Bagi tempat pertama, Amin Mu’az bin Badrul Hesham dari UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani telah memenangi sebuah piala, sijil penyertaan dan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 300.00.

Setiap peserta yang hadir juga telah mendapat sijil penyertaan dan beg cenderahati serta berpeluang untuk bergambar kenangan bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Encik Mohd Zulhilmi bin Mohd Yunus.

1
0