SHAH ALAM, 30 Ogos 2024: Program Malaysia #QuranHour @ PTAR bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara yang diadakan baru-baru ini mampu menyuburkan budaya ilmu di perpustakaan.
Program yang diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah dihadiri oleh Ketua Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, staf perpustakan dan pelajar yang bersama-sama membaca dan mendalami intipati surah Al-Jumu’ah, surah ke-62 dalam Al-Quran.
Menurut Ts. Haji Azizi, Malaysia #QuranHour @ PTAR yang memasuki tahun keenam penganjurannya adalah pemangkin pembudayaan ilmu menerusi penyertaan yang ramai saban tahun sejak penganjuran kali pertama pada tahun 2019.
Kali ini, buat julung kalinya perpustakaan membawakan kelainan apabila menganjurkannya secara dalam talian dan berjaya mengumpul hampir 200 orang peserta.
Berbicara lanjut, Ts. Haji Azizi menyatakan bahawa perpustakaan sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat amat mendukung program-program yang berteraskan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran.
Dengan cara ini orang ramai boleh mengambil manfaat daripada ilmu yang disampaikan oleh panel-panel yang pakar dalam bidang masing-masing sebagaimana program hari ini membawakan Ustaz Haji Md Idris bin Abdullah yang mahir dalam mentafsir Al-Quran bertahun lamanya. Di samping boleh menarik minat ramai, program ini secara tidak langsung mendekatkan komuniti dengan perpustakaan sehingga menjadi suatu pembudayaan.
Surah Al-Jumu’ah yang bermaksud Hari Jumaat mengajak umat Islam mengambil iktibar atas peristiwa para sahabat meninggalkan masjid sewaktu Nabi Muhammad sedang menyampaikan khutbah solat Jumaat. Kupasan lanjut mengenai huraian surah yang diturunkan di Madinah ini boleh ditonton kembali di saluran YouTube Perpustakaan UiTM dan Facebook Perpustakaan UiTM.