Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon 2024 Kolaborasi Ketiga UiTM dan DOSM

SHAH ALAM, 3 November 2024 – Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon anjuran Persatuan Statistik (inStats), Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melabuhkan tirainya pada 2 November 2024. Pertandingan MDIT x DD kali ini lebih istimewa kerana dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Statistik Negara dan Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia.

MDIT x DD 2024, yang memasuki tahun ketiga kolaborasinya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM, Institut Statistik Malaysia (ISMy) dan Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA). Penganjuran ini bertujuan memperkasakan bakat muda dalam bidang analitik data serta memberi peluang kepada para peserta untuk mencipta inovasi bagi menyelesaikan isu-isu penting dan selari dengan tema ‘The Challenge: Finding Digital and Green Skills’. Sebagai salah satu inisiatif menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pertandingan kali ini memberi penekanan khas terhadap empat SDG; SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat). 

Pertandingan ini disertai oleh 80 kumpulan dari 13 universiti awam dan universiti swasta di seluruh Malaysia. Acara Live Pitching yang berlangsung di Hotel UiTM Pulau Pinang pada 1 November 2024 telah menyaksikan 10 kumpulan terbaik yang dipilih melalui saringan pertama mempersembahkan projek mereka di hadapan panel juri profesional yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan juga industri. Barisan panel juri diketuai oleh Dr. Ahmad Fazreen Haji Baharuden (Pengarah Business Insights and Analytics, DataMicron Sdn. Bhd.), Puan Siti Haslinda Mohd Din (Pengarah Bahagian Perangkaan Antarabangsa DOSM), Puan Norisan Mohd Aspar (Timbalan Pengarah Eksekutif Kanan Biro Statistik Buruh Malaysia DOSM), Ts. Dr. Rusnita Isnin @ Hamdan (Ketua Penolong Pengarah Seksyen Data Raya, Jabatan Digital Negara) dan Ts. Hazaniar Othman (Pengurus Servis dan Pengurusan Rangkaian, Telekom Malaysia Teknologi dan Servis Sdn. Bhd.). 

Majlis Live Pitching MDIT x DD 2024 telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Uzir Mahidin (Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia). Turut hadir, YBrs. Puan Hajah Nazaria Baharudin (Timbalan Ketua Perangkawan Program Sosial dan Pembangunan Teknikal, Jabatan Perangkaan Malaysia), YBrs. Profesor Ts. Dr. Haryani Haron (Penolong Naib Canselor, KPPIM) dan YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri (Ketua Pusat Pengajian Sains Matematik, KPPIM).

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 2 November 2024 (Sabtu). Kumpulan NanoGuardian dari Taylor’s University telah dinobatkan sebagai juara MDIT x DD 2024 dengan membawa pulang plak penghargaan, sijil pencapaian dan wang tunai sebanyak RM3,500. Mereka turut merangkul ketiga-tiga anugerah terbaik iaitu ‘Best Presenter Award’ (peserta Shavershini A/P Saravanan), ‘Best Defence Award’ dan ‘Best Creative Thinking Award’, membuktikan keunggulan mereka sepanjang pertandingan ini. Naib juara disandang oleh kumpulan 4cast dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan membawa pulang plak penghargaan, sijil pencapaian serta wang tunai berjumlah RM2,500. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan 3 + 1 = 4.00 dari Universiti Putra Malaysia yang turut membawa pulang plak penghargaan, sijil pencapaian dan wang tunai sebanyak RM1,500.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Uzir Mahidin diiringi oleh YBrs. Puan Hajah Nazaria Baharudin dan YBrs. Profesor Ts. Dr. Haryani Haron diiringi oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri kepada semua pemenang MDIT x DD 2024. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah menonjolkan kebolehan dan pencapaian cemerlang dalam pertandingan datathon berprestij ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada penganjur atas dedikasi dan komitmen mereka. 

MDIT x DD 2024 menjadi bukti komitmen UiTM dan DOSM dalam menggalakkan inovasi bidang data analitik, khususnya dalam aplikasi dunia sebenar, dan diharapkan ia akan terus menjadi platform untuk membangunkan bakat-bakat data masa depan yang kompeten dan berdaya saing.

Penulis: Puteri Sofea Nabeeha Haris (Editor: Farahnatasyah Abdul Hanan & KPPIM News Team)