Malam Keinsafan & Taubat Nasuha : Menyelami Nilai Rohani Hadapi Peperiksaan

Puncak Alam, 14 Januari 2025 – Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Malam Keinsafan & Taubat Nasuha di Surau Ibnu Sina Kampus Puncak Alam dengan pengisian kerohanian seperti bacaan yaasin, ceramah agama, dan solat berjemaah sempena peperiksaan akhir yang bakal diduduki. Hadir menyantuni 255 orang pelajar adalah YBrs. Profesor Madya Dr Norazmir Md Nor, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UCS, yang turut sama menghayati ceramah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari.

Program dimeriahkan lagi dengan kehadiran YBhg. Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM yang telah mengetuai sesi qiamullail dan menyampaikan tazkirah Subuh bertajuk ‘Tanggungjawab & Amanah Dalam Kehidupan Seharian’, dan turut disertai oleh Dekan Fakulti Pendidikan, YBrs. Profesor Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris. Semoga dengan penganjuran program ini membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan dengan kekuatan rohani yang cemerlang.

Acara ini turut menonjolkan komitmen UiTM dalam menyokong keseimbangan pembangunan akademik dan kerohanian pelajar. Keberkesanan program seperti ini menunjukkan bahawa pembentukan pelajar bukan hanya berteraskan pencapaian akademik, tetapi juga pengukuhan nilai moral dan spiritual, sejajar dengan aspirasi universiti.

Penganjuran Malam Keinsafan & Taubat Nasuha ini bukan sahaja membawa pengisian ilmu, tetapi juga menjadi platform penyatuan antara pihak pengurusan universiti dan pelajar dalam suasana yang harmoni. Sambutan hangat yang diterima membuktikan keperluan untuk terus mengadakan program seperti ini pada masa hadapan.