PUNCAK ALAM, 11 Januari 2025 – Persatuan IDEAS Bidang Seni Bina Dalaman UiTM menganjurkan malam gala ID NIGHT 2025 bertemakan Prismatic Masquerade di Foyer Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Kampus Puncak Alam, menghimpunkan 289 mahasiswa dari Semester 01 hingga Semester 08.
Acara yang melibatkan kerjasama pelajar studio Semester 05 ini bertujuan mempererat ukhuwah dan menonjolkan budaya kreatif yang menjadi teras bidang Seni Bina Dalaman. Tema Prismatic Masquerade menonjolkan elemen warna sebagai falsafah penting dalam Seni Bina Dalaman.
Sorotan utama malam itu ialah pertandingan kreatif seperti mereka bentuk “chandelier” dan “topeng masquerade,” yang mempamerkan gabungan idea inovatif dan penggunaan bahan oleh pelajar.
Walaupun menghadapi cabaran kewangan, pasukan penganjur berjaya mendapatkan sokongan daripada penaja seperti Maxmara Art & Stationary, Eye Smile Optometrist, Doing Design, dan KAS ID REKA BUILT Sdn. Bhd.
ID NIGHT 2025 bukan sekadar acara tahunan tetapi simbol kerjasama, kreativiti, dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa Seni Bina Dalaman UiTM. Persatuan IDEAS berharap akan terus menjadi tradisi ikonik yang dinanti-nantikan dan mengukuhkan reputasi UiTM sebagai institusi yang memartabatkan seni bina dalaman.