Majlis Syarahan Perdana Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA: Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia

PUTRAJAYA, 4 Jun 2024 – Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam  telah menganjurkan majlis Syarahan Perdana Profesor Adjung UiTM. Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA telah memberi suatu syarahan bertajuk, “Harnessing the Power of Data: Transforming Insights into Action” telah diadakan di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya.

Majlis yang bermula pada jam 11:00 pagi dimulakan dengan lawatan ke Galeri dan Studio Jabatan Perangkaan Malaysia dan seterusnya majlis syarahan perdana. Seramai 25 mahasiswa statistik dari KPPIM, UiTM bersama tujuh orang pensyarah pengiring turut sama menyertai majlis ini. Acara ini diserikan lagi dengan kehadiran Penolong Naib Canselor KPPIM, Prof. Ts. Dr Haryani Haron, diiringi oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar KPPIM, Encik Mohd Nazrul Mohd Amin, dan Ketua Pengajian Sains Matematik, KPPIM, Prof. Madya Ts. Dr Ahmad Zia Ul-Saufie Mohd Japeri.

Dalam majlis ini, Prof. Ts. Dr Haryani Haron telah menyampaikan ucapan alu-aluan lalu memperkenalkan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin kepada tetamu jemputan. Syarahan ini menjadi satu majlis bersejarah di mana Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin telah menyampaikan kepakaran beliau dalam pengurusan dan analisis data. Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan agensi kerajaan yang utama diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengumpul, mentafsir dan menyebarkan statistik terkini dan masa nyata dalam pemantauan prestasi ekonomi negara dan pembangunan sosial. 

Perkongsian yang disampaikan oleh Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin adalah signifikan kepada semua yang hadir terutamanya para pelajar, pensyarah, penyelidik, dan penganalisa data. Tambahan lagi, syarahan perdana ini turut mengiktiraf pencapaian Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin selama beliau berkhidmat sebagai Profesor Adjung di UiTM. Di samping itu, ia turut memberi peluang kepada semua pihak terlibat untuk berkongsi ilmu dan saling bertukar pandangan tentang pengurusan data dan penyelidikan serta impaknya di pelbagai sektor. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan tandatangan buku kunjungan hormat Jabatan Perangkaan Malaysia oleh Prof. Ts. Dr Haryani Haron. Majlis ini juga turut dipancarkan secara langsung melalui saluran FB Live @ StatsMalaysia iaitu saluran facebook rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Penulis: Siti Afiqah Muhamad Jamil (Editor: Siti Nur Kamaliah Kamarudin, KPPIM News Team).