Shah Alam, 19 Jun 2024 – Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti, Kolej Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Syarahan Perdana Profesor Adjung “Aspirasi dan Cabaran: Pengurusan Kawasan Perlindungan di Semenanjung Malaysia” oleh YBhg. Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim, Ketua Pengarah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Dewan Annex, UiTM Shah Alam.
Majlis dimulakan pada jam 9:00 pagi dengan tayangan video berkenaan latar belakang Jabatan PERHILITAN dan cabaran yang dihadapi oleh Jabatan PERHILITAN dalam kerja-kerja konservasi hidupan liar terancam di Semenanjung Malaysia. Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan oleh YBrs. Profesor Sr. Dr. Zulkiflee Abd Latif, Dekan Penyelidikan dan Inovasi, yang menjalankan tugas Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Alam Bina dan seterusnya memperkenalkan Profesor Adjung YBhg. Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim. Majlis syarahan ini merupakan satu detik bersejarah buat Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti kerana YBhg. Dato Abdul Kadir bin Abu Hashim merupakan Profesor Adjung pertama lantikan bidang ini. Pelantikan ini dilihat bertepatan dengan bidang pengajian di mana Jabatan PERHILITAN merupakan satu agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kawasan perlindungan dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Prof. TPR. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, UiTM; YBrs. Profesor Madya Dr. Yusfida Ayu Abdullah@Mohd Zain, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, KAB; YBrs. Pn. Siti Noorbaizura Bookhari, Koordinator Bidang, Pengurusan Taman dan Ameniti, KAB; YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Nazip Suratman, Profesor Kehormat (mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UiTM); Pengarah – pengarah Bahagian Jabatan PERHILITAN; pengarah – pengarah pusat kecemerlangan UiTM, pengurusan tertinggi KAB, para pensyarah dan pelajar-pelajar Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti.
Perkongsian yang disampaikan oleh YBhg. Dato Abdul Kadir bin Abu Hashim adalah sangat signifikan kepada semua yang hadir terutamanya para pelajar, pensyarah, penyelidik, dan pengurus taman. Syarahan ini mempamerkan kepakaran mendalam YBhg. Dato’ yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas setelah berkhidmat dalam bidang pengurusan kawasan perlindungan dan hidupan liar selama lebih 30 tahun. Dalam syarahan beliau, Dato’ membentangkan berkenaan retrospektif pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan serta menekankan kepentingan hidupan liar dalam ekosistem negara kita. YBhg. Dato’ turut berkongsi berkenaan akta-akta dan polisi yang terpakai dalam menerangkan punca kuasa pewartaan serta hak dan kuasa Jabatan PERHILITAN dan Pihak Berkuasa Negeri.
Topik ini sangat relevan dalam usaha penjagaan kelestarian khazanah negara. Pengurusan kawasan perlindungan memerlukan pendekatan yang holistik dan inovatif seiring dengan pembangunan yang semakin pesat di negara ini. Selain itu, kawasan perlindungan juga memainkan peranan yang penting di era milenium ini, contohnya seperti pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti, perlindungan budaya dan warisan semula jadi dan banyak lagi. Intipati daripada syarahan ini juga dapat memberi inspirasi kepada semua hadirin untuk terus berusaha dalam memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang selaras dengan usaha untuk mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).
Majlis berakhir pada jam 12:00 tengah hari dan ditutup dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua belah pihak. Majlis ini juga turut dipancarkan secara langsung melalui saluran Instagram Live @pams_uitmsa iaitu saluran Instagram rasmi Persatuan Pelajar Pengurusan Taman dan Ameniti.
Gambar 1: YBhg. Dato Abdul Kadir bin Abu Hashim ketika sesi pembentangan.
Gambar 2: Sesi bergambar semua hadirin.
Gambar 3: YBhg. Dato Abdul Kadir bin Abu Hashim diiringi oleh YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN; YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Nazip Suratman, Profesor Kehormat UiTM dan YBrs. Dr. Zakaria Hashim, Pengarah Program Syarahan Perdana.
Gambar 4: Sesi bergambar tetamu kehormat bersama para pensyarah Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti
Mas Aiyu Jamaludin & Nur Hidayah Ishak Hizam