Majlis Sanjungan Budi Ts. Noor Hidayat bin Adnan – Ketua Pustakawan UiTM ke-6

Bertempat di Anjung Seri Budiman, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah menganjurkan Majlis Sanjungan Budi Ts. Noor Hidayat bin Adnan, mantan Ketua Pustakawan PTAR sebagai apresiasi sumbangan dan khidmat bakti selama 36 tahun perkhidmatan di UiTM.

Majlis yang telah berlangsung pada 01 April 2022 (Jumaat) jam 03:00 petang ini, telah dihadiri YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah binti Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

Turut mengiringi Naib Canselor ialah YBhg. Profesor Dr. Mohamad Sazili bin Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan YBhg. Profesor Dr. Mohamad Hariri bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni).

Majlis yang telah diacarakan oleh Puan Nor Azwani Mohamad, telah ditonton sejumlah 303 orang penonton daripada seluruh cawangan PTAR UiTM berjumlah 14 cawangan. Majlis ini turut dipancarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Perpustakaan UiTM di URL https://www.youtube.com/watch?v=amWQSbFKOJ8&t=976s

Sejumlah 46 orang yang terdiri daripada barisan Pengurusan Eksekutif UiTM dan Ahli Jawatankuasa Majlis Sanjungan Budi telah berhimpun di Anjung Seri Budiman bagi meraikan mantan Tuan Ketua Pustakawan PTAR.

Majlis tersebut dimulai dengan ucapan penghargaan oleh Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman sebagai mewakili staf PTAR, disusuli dengan ucapan penghargaan daripada Naib Canselor UiTM.

Naib Canselor UiTM dalam ucapan penghargaannya menyifatkan Tuan Ts. Noor Hidayat seorang yang amat komited apabila melaksanakan amanah yang digalas sebagai peneraju perpustakaan. Kejayaan demi kejayaan telah dikecapi oleh PTAR, antaranya pengiktirafan di peringkat antarabangsa iaitu anugerah Emas di APQO International ACE Team Awards Competition (Star Award) & International Quality and Productivity Convention (IQPC) di Bali, Indonesia pada tahun 2019.

Tuan Ts. Noor Hidayat bin Adnan turut menyampaikan ucapan perpisahan sambil mengimbau kenangan sepanjang perkhidmatan di PTAR, UiTM. Pelbagai memori indah dan cabaran getir yang telah ditempuhi oleh beliau telah dikongsi bersama para hadirin. Sebagai seorang muslim, kemaafan turut dihulur agar jalinan silaturahim akan terus terjalin dengan lebih mesra. Harapan beliau ialah ingin melihat PTAR terus maju sebagai sebuah perpustakaan peneraju di institusi pengajian tinggi.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video ucapan penghargaan daripada barisan Pengurusan Kanan UiTM, Pengurusan Kanan PTAR serta staf PTAR. Tidak ketinggalan rakaman video Tuan Ketua Pustakawan mengungkap kenangan terindah bersama PTAR.

Sambil menjamu selera, para hadirin telah diiringi dengan alunan muzik secara langsung daripada Band PTAR. Kumpulan empat orang staf PTAR ini telah mengalunkan lagu merdu ‘My Way’ nyanyian asal Frank Sinatra, serta lagu ‘Sayap Ilusi’ nyanyian asal kumpulan Wings.

Sebelum majlis berada dipenghujungnya, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman telah menyampaikan cenderamata daripada pelbagai jabatan dan bahagian PTAR. Manakala penyampaian cenderamata daripada Ketua Perpustakaan Cawangan telah disampaikan oleh setiap Ketua Perpustakaan Cawangan.

Di akhir majlis, Tuan Ts. Noor Hidayat dengan diiringi oleh Encik Mohd Alfarabie Mohd Nasir telah dibawa melawat ruang pameran “A Walk Down Memory Lane”. Di ruang ini, puluhan foto Tuan Ts. Noor Hidayat sewaktu berkhidmat telah dipamerkan sebagai rakaman penghargaan yang tidak terhingga buat beliau.

Seakan tidak mahu berpisah, para hadirin tidak putus-putus mengambil gambar kenang-kenangan bersama mantan Tuan Ketua Pustakawan PTAR sebelum beliau dilihat menaiki kenderaan yang dipandu oleh pemandu PTAR, Encik Muhammad Firdaus Mat Zainal, dan membawa beliau terus pulang ke kediaman beliau.

Sesungguhnya, jasa baik tuan membangunkan PTAR amat dekat di hati seluruh warga PTAR, UiTM.