MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QURAN DAN KHATAM AL-QURAN PERINGKAT UiTM CAWANGAN SABAH

KOTA KINABALU, 28 Mac 2024 – Bersempena 17 Ramadan 1445H UiTM Cawangan Sabah telah menganjurkan Majlis Sambutan Nuzul Al- Quran dan Khatam Al Quran di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah.   Program dimulakan dengan Ceramah Nuzul Al Quran bertajuk Al Quran Mukzijat Sepanjang Zaman oleh Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Ustaz Dr. Zaifuddin Md Nasif.   Antara intipati ceramah tersebut adalah Allah SWT suka kepada hamba-Nya yang sentiasa membaca dan melazimi al-Quran.   Selain itu, Allah SWT telah menjadikan al-Quran mudah untuk dihafal dan dipelajarinya.  Firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah Al-Quran dengan tartil (perlahan-lahan)”.

Surah al-Muzzammil, Ayat 4

Bagai beliung dengan asahan, Al- Quran merupakan sahabat baik setiap insan dan membacanya memberi seribu rahmah kepada manusia.  Selain memperbaiki diri dan peribadi, kelebihan membaca Al-Quran adalah mendapat pahala, dilindungi malaikat, mendapat syafaat, menenangkan hati, mendapat keselamatan dunia akhirat dan diangkat darjat.  Firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah ayat 11 bermaksud “Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” Maksud darjat disini ialah Allah membuatkan mereka disenangi oleh orang sekeliling. Mereka disayangi, dihormati dan dihargai ramai orang.

Usai perkongsian ceramah dari Ustaz Dr Zaifuddin, majlis diteruskan dengan bacaan ayat ayat suci Al-Quran sempena Majlis Khatam Al- Quran.  Majlis turut dirasmikan oleh Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed dan memberi penghargaan kepada peserta Tadarus Al – Quran.  Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan budaya membaca Al-Quran , malah membina dan melengkapkan keyakinan diri dalam menambah baik bacaan Al-Quran dan membentuk peribadi mulia.