Majlis Restu Ilmu Dan Apresiasi Meltech 2022

PUNCAK ALAM – Program Majlis Restu Ilmu dan Apresiasi MELTECH 2022 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan di Surau Ibnu Sina (SIS), UiTM Puncak Alam. Seramai 144 orang peserta terdiri daripada 26 orang ahli jawatankuasa, 8 orang pensyarah, 4 orang staf dan 106 orang peserta terlibat dalam menjayakan program ini. Majlis Restu Ilmu dan Apresiasi MELTECH 2022 ini telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Nazri bin Abu selaku Ketua Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan.

Program ini bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk memohon restu dan doa daripada para pensyarah dan staf sebelum menduduki peperiksaan penggal akhir yang tidak lama lagi akan bermula. Program ini akan memberi semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan tenang demi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Pengarah program, Nur Faizah binti Kamal Bahrin berkata, “Program sebegini perlu dilakukan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan staf serta pensyarah Teknologi Makmal Perubatan.”.
“Selain itu, diharapkan semua ahli jawatankuasa juga dapat komited dalam menguruskan organisasi dengan lebih baik seterusnya mengharumkan nama MELTECH dan UiTM ke persada antarabangsa. Hal ini sejajar dengan usaha kita untuk memperkenalkan UiTM sebagai sebuah universiti yang mementingkan pembinaan soft skills dalam kalangan mahasiswa.” katanya.