Pada 13 Disember 2022 yang lalu, KMK MART di bawah seliaan Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang amat berbesar hati dengan kunjungan mesra YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah binti Kasolang, Penolong Naib Canselor (PNC) Keusahawanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk merasmikan pembukaan KMK MART di Lot 1 dan Lot 2 Kolej Mat Kilau 2 (KMK2) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Kehadiran YBhg. Prof. turut diiringi oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang, YBhg. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Industri (PJI) UiTM Cawangan Pahang, Ts. Dr. Nik Roselina binti Nik Rosley, Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa MASMED UiTM, Encik Md Faizul bin Khalid @ Abd Malek, Ketua Jabatan Inkubator Perniagaan MASMED UiTM, YBrs. Mohammad Khair bin Mohd. Seni, Timbalan Pendaftar UiTM Cawangan Pahang dan Puan Maisarah binti Ishak, Koordinator MASMED UiTM Cawangan Pahang.
Di KMK MART, YBhg. Prof. telah disambut oleh Encik Mohamad Kamil Ariff bin Dato’ Khalid, Mentor 1 KMK MART, Puan Normala binti Ismail, Mentor 2 KMK MART, Ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian KMK MART dan pelajar-pelajar KMK MART. Majlis dibuka dengan ucapan ringkas tetapi tuntas oleh Pengurus KMK MART, Saudara Muhammad Amirul Nazrin bin Ruziazlan, diikuti dengan ucapan YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang dan ditutup dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah binti Kasolang, PNC Keusahawanan UiTM.
Sejurus selepas gimik perasmian, YBhg. Prof. telah dibawa melihat ruangan kedai KMK MART yang lengkap dengan pelbagai barang keperluan terutamanya makanan dan minuman pada harga yang berpatutan kerana mengambil kira keperluan para pelajar dan penghuni kolej kediaman di sekitar yang boleh mendapatkan barang keperluan harian tanpa perlu meninggalkan kampus.
YBhg. Prof. juga telah berbesar hati membelanjakan sebanyak RM150.00 membeli pelbagai barangan runcit dari KMK MART untuk disumbangkan ke GEROBOK UiTM Cawangan Pahang. GEROBOK UiTM Cawangan Pahang adalah satu Program Bank Makanan iaitu sumbangan makanan percuma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan demi kelangsungan hidup mereka di universiti.