Majlis Perasmian dan Pameran Fotografi Wajah-Wajah Perpaduan Malaysia 2024

Shah Alam, 17 November 2024 – Majlis Perasmian Dan Pameran Fotografi Wajah-Wajah Perpaduan Malaysia 2024 anjuran UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Kementerian
Perpaduan Negara telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Central Plaza I-City, Shah Alam. Perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Che Roslan Bin Che Daud, Ketua
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional, Mewakili YAB Menteri Perpaduan Negara.

Hadir sama adalah YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM dengan diiringi oleh YBhg Datuk Omar Shariff Mydeen, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, serta YBrs. Profesor Madya Dr Badrul Isa, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar. Program ini dilihat berjaya melaksanakan agenda kerajaan Madani untuk memupuk perpaduan melalui pertandingan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi Wajah-Wajah Perpaduan Malaysia 2024. Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan pertandingan ini bermula 1 Jun 2024 sehingga 16 Oktober 2024. Sebanyak 583 penyertaan diterima dan dinilai dalam sesi penjurian awal, dan 60 penyertaan telah layak di bawa ke penjurian akhir. Hasil penyertaan pertandingan ini telah di pamerkan kepada orang awam dengan mengketengahkan karya fotografi melalui lensa kamera rakyat Malaysia. Pameran selama tiga hari itu turut menyajikan aktiviti-aktiviti menarik seperti forum, pertandingan dan pameran kesenian.

UiTM amat bertuah dan berbangga kerana telah dipilih sebagai rakan strategik untuk bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara. Kerjasama ini membawa kepada sumbangan kepakaran kepada agenda kerajaan Madani, melalui penganjuran pertandingan fotografi dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama. Hasil kerjasama ini telah berjaya melaksanakan agenda perpaduan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah menengah dan rendah.