Majlis Penyerahan Laporan Akhir Kajian Bekalan dan Pasaran Setempat (Profiling) Daerah Raub dan Lipis,Pahang 2021

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Puan Nurul Afzan binti Najid, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub kerana telah berjaya melaksanakan dan menyiapkan kajian profiling bagi pihak FAMA Negeri Pahang. Kajian ini telah mendapat geran daripada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM63,000.

Meskipun berdepan situasi sukar ketika negara diuji dengan situasi pandemik, namun itu bukan halangan yang besar kepada kumpulan penyelidik UiTM yang berusaha menyelesaikan kajian ini dengan jayanya dan turun padang bertemu responden bagi mengenalpasti keperluan serta perancangan petani, pemasar serta peniaga di daerah Raub dan Lipis bersesuaian dengan objektif perlaksanaan kajian ini.

Kajian profiling yang telah dijalankan memperlihatkan ruang penambahbaikkan yang boleh dilaksanakan oleh pihak FAMA Negeri Pahang khususnya kepada perusahaan tanaman yang sedang dan berpotensi untuk diperkembangkan serta dimodenkan. Ianya seiring dengan situasi pandemik yang melanda dunia.  Kajian profiling ini memberi indikator yang jelas terhadap hasil penemuan penjualan serta pemasaran hasil sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, kajian ini juga menunjukkan corak tanaman, kaedah serta pasaran yang diperlukan di negeri Pahang khususnya di dua daerah kajian tersebut. Melalui kajian ini, jelas memperlihatkan penglibatan petani muda serta penggunaan kaedah penanaman moden perlu diperkembangkan khususnya di daerah Raub dengan menjadikan daerah Lipis sebagai model rujukan utama. Ini bagi memastikan kelestarian pertanian moden berupaya memberi peluang kepada petani muda memperkembangkan keupayaan mereka di dalam mengemudi dan melaksanakan penambahbaikkan kepada aspek pertanian di Malaysia.

Pendekatan sebegini juga berupaya memberi peluang kepada pihak FAMA untuk mengintai peluang kerjasama serta penglibatan lebih ramai petani muda di negeri Pahang bagi menyumbang kepakaran, idea serta pengalaman pertanian.  Situasi begini sedikit sebanyak membantu pihak FAMA dalam melestarikan objektif FAMA khususnya kepada pelbagai aspek pertanian di negeri Pahang dan Malaysia amnya. Hal Ini selari dengan agenda kerajaan dalam mempelbagaikan jenis pertanian di Malaysia menggunakan idea dan teknologi baru yang dapat membawa pertanian Malaysia ke tahap global yang mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia dengan acuan dan resipi pertanian moden Malaysia serta menyahut pendekatan holistik pertanian yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2020-2025) khususnya kepada perancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Penggunaan teknologi menjadikan pertanian lebih mudah, meningkatkan kecekapan dan seterusnya dapat meningkatkan hasil. Malah, penggunaan teknologi juga menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D (Dirty, Dangerous and Difficult).

Ianya juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2 (SDG 2) yang bertujuan mencapai sifar kelaparan. Matlamat 2 ini menyasarkan untuk menamatkan kelaparan menjelang 2030 melalui makanan keselamatan,pemakanan yang lebih baik dan menggalakkan pertanian lestari. Kewujudan industri pertanian yang lestari merupakan pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ini boleh dicapai dengan memastikan sistem pengeluaran makanan yang mampan yang diusahakan oleh rakyat secara bersepadu, dikomersialkan serta menjadi pendapatan utama sekaligus dapat meningkatkan pendapatan negara.

Secara umumnya, kerjasama dan usaha ini amat besar ertinya kerana ia mendukung aspirasi universiti, iaitu melahirkan ahli akademik yang mampu menyumbang kepakaran dan pengetahuan dari segi penyelidikan kepada agensi-agensi kerajaan sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat. Ini juga selaras dengan matlamat UiTM untuk mencapai kompetensi global yang telah ditetapkan bagi halatuju UiTM menjelang 2025. Diharapkan dengan kerjasama ini akan dapat membantu pihak FAMA untuk lebih cemerlang dalam perancangan yang holistik untuk membawa sektor pertanian di Malaysia bagi memastikan sektor pertanian menjadi sektor yang lebih dinamik, inovatif, kompetitif dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.