Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM Cawangan Kelantan ke Karnival Sukan Staf (KARiSTA) dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan UiTM Cawangan Kelantan 2022

MACHANG, 21 Ogos – UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM Cawangan Kelantan Ke Karnival Sukan Staf (KARiSTA) dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan UiTM Cawangan Kelantan 2022 pada 17 Ogos 2022. Sukan Staf KARiSTA kali ini melibatkan 93 orang pemain dari UiTM Cawangan Kelantan merangkumi 11 acara.

Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan telah merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Cawangan Kelantan serta urus setia kontinjen yang telah bertungkus lumus bagi mewakili UiTM Cawangan Kelantan di KARiSTA 2022. Beliau menyatakan bahawa KARiSTA merupakan manifestasi terbaik dalam menerapkan budaya ESI dan iDART. Kecemerlangan (Excellence) tercapai melalui pungutan pingat hasil sinergi dan integrity pihak pengurusan dan warga UiTM. Nilai-nilai Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab diharap dapat ditanam dalam sanubari setiap atlet yang mewakili UiTM Cawangan Kelantan khususnya. Dalam masa yang sama, KARiSTA ini berlangsung pada bulan Ogos, iaitu bulan kemerdekaan, yang akan memberi lebih semangat kepada para atlet untuk berjuang.

Majlis ini juga berlangsung bersama Pelancaran Bulan Kemerdekaan UiTM Cawangan Kelantan 2022 dimana Rektor UiTM Cawangan Kelantan turut melaungkan laungan keramat Merdeka! dan memasang bendera jalur gemilang pada kenderaan UiTM Cawangan Kelantan sebagai tanda menyemarakkan bulan kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan Keluarga Malaysia, Teguh Bersama.

Sebagai pengisian menyemarakkan rasa cinta kemerdekaan kepada negara, UiTM Cawangan Kelantan menganjurkan pertandingan hiasan Bahagian terbaik dengan tema kemerdekaan, bengkel pantun dan pertandingan pantun campuran antara Bahagian, dan seterusnya pertandingan swafoto individu dan Bahagian terbaik dengan tema kemerdekaan di sekitar kawasan kampus. Diharap dengan penganjuran ini mendapat sambutan baik oleh semua warga UiTM Cawangan Kelantan demi meningkatkan kecintaan kepada negara. Pertandingan ini akan berlangsung sehingga penutupan majlis “HARI MALAYSIA”.

Semangat kesukanan di bulan merdeka ini, diharapkan UiTM Cawangan Kelantan dapat pulang dengan kejayaan.

https://kelantan.uitm.edu.my/index.php/events/827-majlis-penyerahan-bendera-kontinjen-uitm-cawangan-kelantan-ke-karnival-sukan-staf-karista-dan-pelancaran-bulan-kemerdekaan-uitm-cawangan-kelantan-2022