Majlis penyampaian sumbangan prihatin warga Fakulti Pendidikan

Majlis Penyampaian Sumbangan Prihatin Warga Fakulti Pendidikan kepada Pelajar ISMP (Kepujian) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Pada 8 Februari 2021, pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah menerima sumbangan dalam bentuk pek-pek makanan. Sumbangan merupakan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan dan Kelab Kebajikan dan Sosial Staf Fakulti Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan ringkas oleh Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan, sebelum sumbangan ‘bertukar tangan’. Turut menjayakan majlis adalah kehadiran Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UCS; Dr. Sabainah Bachok, Pengetua Kolej Rafflesia, Angsana dan Casuarina; selain daripada warga kerja Fakulti Pendidikan termasuk Dr. Zarizi Ab. Rahman, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar); Dr. Khadijah Said Hashim, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial Staf serta staf pentadbiran Fakulti Pendidikan.

Majlis dianjurkan dengan pematuhan kepada norma baharu dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka. Para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan berada di Kampus UCS bagi memenuhi keperluan Kuliah Sesi 2B. Semoga sumbangan menjadi suntikan motivasi kepada para pelajar. Tentunya sumbangan seumpama ini merupakan refleksi keprihatinan warga Fakulti Pendidikan terhadap kebajikan para pelajar.