Majlis Penyampaian Hadiah ‘Quiz Celik Wang Talk’ di SK Parit Mahang, Jeram, Selangor

Parit Mahang, 3 Jun 2022 – Susulan dari sesi QUIZIZZ semasa Kursus Celik Wang yang diadakan secara atas talian pada 18 Mei 2022 oleh Research Focus Group (RFG) Financial Literacy dengan kerjasama Islamic Banking Association (ISBA) melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, suatu majlis penyampaian hadiah yang ringkas tetapi amat bermakna telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang (SKPM).

Ianya adalah salah satu hasil dari Jalinan Komuniti di antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan SKPM. 40 pelajar SKPM telah hadir di “Speech Corner” yang diceriakan dengan kata – kata motivasi untuk menerima hadiah QUIZZIZ.

Cikgu Sarif Bin Mat Din, Penolong Kanan Pentadbiran menyatakan bahawa Kursus Celik Wang ini telah membuka mata pelajar mengenai kepentingan menabung di samping beberapa perkara yang lain. Pendedahan terhadap kaedah yang tepat untuk menguruskan wang yang dimiliki amat penting untuk masa hadapan. Beliau juga telah memaklumkan kepada pelajar bahawa Kursus Celik Wang Siri 2 akan diadakan pada 20 Julai 2022.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan agar rakyat memiliki sifat suka menabung dan menyimpan, tabung merupakan hadiah utama yang dibawa oleh 4 orang pensyarah Kewangan iaitu Dr Norzitah Abd Karim, Dr Siti Aminah Mainal, Dr Nura Lina Md Elias dan Puan Syahrul-Niza Kamarul Ariffin kepada para pemenang.

Semoga ianya menjadi pemangkin untuk para pelajar mula menabung terutama untuk kegunaan semasa melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi samada di institusi pengajian tinggi awam atau swasta. Menabung juga dapat membimbing kita untuk berbelanja mengikut kemampuan disamping meningkatkan disiplin diri serta sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Turut hadir adalah Puan Noraliza Nawam, Guru Besar SKPM, Encik Mohd Naswadi Bin Yusof, Penyelaras pelajar tahun 6, Puan Zarina, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Zilhayat Aimi Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Nurhafizah Guru Bimbingan & Kaunseling, Puan Norhayati, Puan Hafidah dan Puan Pak Wan Chik