Majlis Penutup MISA Smart Circle 2024

25 April 2024 – Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) Sesi 2023/2024, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Puncak Alam telah menganjurkan program Riang Raya MISA 2024 bersempena dengan majlis penutup MISA Smart Circle 2024 beserta majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri. Program ini dianjurkan bertujuan untuk menambah kefahaman pelajar tentang ilmu agama melalui ceramah yang disampaikan serta merapatkan jalinan hubungan silaturrahim antara pelajar, staf dan pensyarah Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan.

Program ini dijalankan pada jam 2 hingga 5 petang bertempat di Hallway FSK 2,3,4, Aras 1 dan Makmal Ultrasound. Program ini disertai seramai 267 orang pelajar, 15 orang staf dan pensyarah Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan serta seorang penceramah jemputan daripada ACIS. Program Riang Raya MISA 2024 ini turut melibatkan seramai 42 orang pelajar MISA sebagai ahli jawatankuasa pelaksana.

Sesi ceramah daripada Ustaz Khairul Azwad Bin Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Islam di UiTM dengan topik beliau “Manifestasi Madrasah Ramadhan: Apa Selepas Ini?”. Acara ceramah berakhir dengan sesi soal jawab bagi memberi ruang kepada para pelajar bertanyakan persoalan berkaitan dengan ceramah yang disampaikan. Program ini juga diteruskan lagi dengan ucapan perasmian program Riang Raya MISA dan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan oleh saudara Ahmad Alif Aidil Bin Mohamed Zamri, Presiden Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) Sesi 2023/2024. Acara ceramah dan perasmian penutup diakhiri dengan sesi fotografi yang diketuai oleh biro multimedia Riang Raya MISA.

Secara keseluruhan, pelaksanaan program ini telah berjaya menyuntik semangat perpaduan dan memperkukuh silaturrahim di kalangan warga Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.