Majlis Peluncuran Jabatan Adiwangsa UiTM: Memperkasa Warisan, Memacu Masa Depan

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Jabatan Adiwangsa dengan penuh gemilang, menandakan langkah signifikan dalam memperkasakan misi asal penubuhan universiti ini sebagai sebuah institusi khusus untuk kaum Melayu dan Bumiputera. Peluncuran ini bertepatan dengan keperluan semasa, memastikan pengantaran ilmu yang relevan dan berkesan.Majlis Peluncuran ini disempurnakan oleh YBM Menteri Pendidkan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Hotel Tamu Kuala Lumpur.

Peluncuran Jabatan Adiwangsa membawa bersama nilai-nilai utama seperti Usaha, Taqwa, dan Mulia. Jabatan ini dibentuk berasaskan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153, serta nilai-nilai yang dipegang dalam Rukunegara dan DNA UiTM. Selain itu, penghormatan terhadap Institusi Beraja juga menjadi salah satu teras utama dalam pembentukan jabatan ini, memperlihatkan komitmen UiTM untuk menjaga dan memperkukuh warisan budaya, agama, bangsa Melayu dan bumiputera.

Penubuhan Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa pada April 2024 telah mempercepatkan lagi usaha UiTM untuk mempersiap jatidiri para pelajar dan warga ke arah penghayatan Melayu, Islam dan institusi Beraja. Penggabungan empat organisasi yang terdiri daripada Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Bahagian Hal Ehwal Islam, Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah ,dan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di bawah Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa akan menumpukan segenap kekuatan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten di dalam industri, malah tegak menjunjung prinsip Melayu, Islam dan Beraja pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

UiTM akan terus diperhebatkan dengan pancang keramat Usaha, Taqwa dan Mulia yang terus menerus memberikan peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar untuk mengubah kehidupan keluarga dengan menawarkan sejumlah 522 program akademik di 34 buah kampus di seluruh negara. untuk meneruskan kesinambungan usaha memperbaiki ketidakseimbangan landskap sosio-ekonomi masyarakat khususnya Melayu dan Bumiputera.

Majlis ini menandakan permulaan yang cemerlang bagi Jabatan Adiwangsa, dengan harapan ia akan terus memperkukuhkan kedudukan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul dan berwibawa. Jabatan ini bertekad untuk memacu masa depan negara dengan pendidikan yang berkualiti dan relevan, sambil memastikan warisan budaya dan nilai-nilai murni bangsa terus terpelihara.