Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

SHAH ALAM, 8 November 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) dan Persatuan Bahasa Melayu Komunikasi Profesional, APB Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam telah menganjurkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 peringkat Universiti Teknologi MARA Malaysia.  Program ini merupakan sebahagian daripada usaha dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu (PTMBM) di IPTA.

Dalam ucapan Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Prof. Ts. Dr Janudin Sardi, Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 disambut bagi menunjukkan inisiatif yang signifikan dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan memastikan kelestariannya dalam kalangan warga UiTM. Penganjuran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat universiti ini merupakan salah satu usaha Akademi Pengajian Bahasa (APB) untuk memartabatkan bahasa Melayu bagi membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia, selaras dengan hasrat membangunkan Malaysia Madani.

Pelbagai acara bahasa dipertandingkan pada sambutan kali ini seperti sajak, pantun, dan video pendek bagi menyemarakkan budaya kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan warga UiTM. Sayembara bahasa ini terbuka kepada seluruh warga UiTM sebagai tanda UiTM menyambut baik dan menyokong mandat yang digalas oleh APB.

Program ini turut menghimpunkan pelbagai pihak yang terlibat dalam pembangunan bahasa. Sambutan bulan bahasa ini berlangsung pada 8 November hingga 3 Disember 2024. Diharapkan dengan adanya Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 ini, ia dapat  menyemarakkan lagi kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan bahasa Melayu dalam kalangan warga UiTM dan masyarakat.

Penulis: Norita Harijaman