8 JUN 2022 , UiTM CAWANGAN SELANGOR – Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Majlis (Kepujian) (BA236), Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Kampus Puncak Alam telah mengorak langkah proaktif melalui penganjuran projek Kitar Kain bermula pada 14hb Mei hingga 8 Jun 2022 yang lalu. Program yang julung kalinya dianjurkan ini berobjektifkan untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja dikalangan Warga UiTM, malahan komuniti setempat tentang pengurusan sisa tekstil dan fabrik yang lebih lestari. Penglibatan dan sokongan penuh dapat dilihat melalui penyertaan Warga UiTM sepanjang program ini berlangsung di dalam program webinar, Mari Berganti Kain, Bergaya Kitar Kain dan Pasar Kitar Kain.
Kempen kesedaran ini yang merangkumi komuniti setempat dan juga Warga UiTM adalah bertepatan bagi membantu menangani isu lambakan sisa tekstil dan secara khususnya mendepani agenda SDG 12 (Responsible Consumption and Production). Kolaborasi strategik diantara para pelajar selaku penganjur utama bersama Kloth Cares Malaysia dan Pusat Hijau UiTM atau lebih dikenali sebagai UiTM Green Centre (UGC) ini bakal menyaksikan pelbagai inisiatif hijau di dalam Kampus UiTM yang melibatkan komuniti setempat dan pemegang taruh bagi memastikan agenda Sustainable Development Goals (SDG) dapat direalisasikan dan seterusnya menjadikan UiTM sebagai kampus hijau dan menjadi Globally Renowned University (GRU) menjelang tahun 2025.
Objektif penganjuran program Kitar Kain ini juga telah berjaya dicapai dengan jayanya dengan majlis pelancaran unit Kloth Care Bin yang pertama di Kompleks At-Tijarah, UiTM Kampus Puncak Alam. Majlis perasmian telah dihadiri YBhg Prof Dr. Noryati Ahmad; Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Cik Nor Azzura Nordin dan Cik Noor Syahieda Mat Shah; Penasihat Program Kitar Kain dan saudari Ummi Maisarah Nasaruddin, Adelyn Gwee dan Iris Maria Ismail; wakil daripada Kloth Cares Malaysia. Manakala Pusat Hijau UiTM telah diwakili oleh YBhg Prof. Madya Ts. Dr. Khairi Khalid, Dr Norhasyimi Rahmat dan Dr Khairun Najiah Ahmad.
Menurut pengarah program Kitar Kain, saudara Mohamad Khairul Amirin Noorasraf, beliau berharap agar program yang dirintis oleh ahli kumpulan pelajar ini bakal diteruskan oleh pelajar UiTM bagi membantu mendepani isu-isu berkaitan alam sekitar. Sebagai warganegara yang peka, Warga UiTM adalah disarankan untuk menggunakan Kloth Care Bin yang telah disediakan bagi membantu menangani isu lambakan sisa tekstil. Pusat Hijau UiTM akan terus komited dan menyokong penuh serta menjalin kolaborasi strategik bersama pemegang taruh dan komuniti setempat dan seterusnya menjadi titik permulaan kepada pelbagai inisiatif hijau yang bakal disaksikan secara berterusan di dalam Universiti dan melibatkan seluruh Warga UiTM.