Majlis Menandatangani MoU Antara UiTM dan Institut Yunus Emre: Perkongsian Budaya dan Akademik Diperkukuh

Shah Alam, 2 Disember 2024 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Yunus Emre hari ini bagi menjalin Persahabatan dan Kerjasama, Promosi Persefahaman Bersama, Pemikiran Akademik, Budaya dan Saintifik, serta Program Pertukaran.

Selaras dengan aspirasi untuk menjadi Universiti Terkemuka Global, UiTM telah bekerjasama dengan Institut Yunus Emre – sebuah institusi global dari Türkiye yang menyediakan peluang pendidikan dan hubungan budaya dengan 80 pusat kebudayaan di 66 negara.

Penandatangan MoU tersebut ialah Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM, disaksikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Hjh Emma Marinie Ahmad Zawawi, Penolong Naib Canselor Kolej Alam Bina. Pihak penandatangan MoU dari rakan kerjasama ialah Dr Ömer Altun, Pengarah Institut Yunus Emre Pejabat Kuala Lumpur, yang disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Emir Salim Yüksel, Duta Besar Kedutaan Türkiye di Kuala Lumpur. Turut hadir, Naib Presiden YTB dari Ankara, Encik Murat Kazancı, pensyarah bahasa Turki dan delegasi.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan Naib Canselor UiTM yang menekankan nilai kerjasama dengan Institut Yunus Emre dan potensi pelbagai sektor kolaborasi. Ucapan seterusnya disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Türkiye yang menonjolkan hubungan diplomatik semasa antara Malaysia dan Türkiye.

Dalam sesi libat urus selepas majlis, Naib Presiden YTB menegaskan visi Türkiye untuk pengantarabangsaan yang berkualiti dalam pendidikan tinggi serta peluang kerjasama yang ditawarkan oleh Biasiswa Turki. Beliau juga menyatakan kepentingan yang besar diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran tentang bahasa Turki dan budaya Turki di seluruh dunia.

MoU ini merupakan salah satu daripada banyak langkah penting dalam bidang budaya dan pendidikan yang mampu memberikan sumbangan konkrit dalam mengukuhkan hubungan Türkiye-Malaysia.