Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM dan Ton Duc Thang University, Vietnam

HO CHI MINH, 30 OKTOBER 2024 – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ton Duc Thang University (TDTU) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dan kolaborasi strategik bagi meningkatkan ketampakan UiTM diperingkat antrabangsa. Langkah menandatangani MoU ini adalah selaras dengan visi UiTM iaitu menjadikan UiTM sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan.

MoU yang berlangsung di Ton Duc Thang University, Vietnam pada 30 Oktober 2024 itu dimeterai antara Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Alam Bina, Professor Madya Ts Dr Emma Marinie Ahmad Zawawi bagi mewakili Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib dan Presiden TDTU, Dr Tran Trong Dao.

Dengan termeterainya MoU, pelbagai inisiatif yang berimpak tingg di antara kesemua pihak seperti peluang kolaborasi projek penyelidikan secara bersama, program mobiliti antarabangsa, inovasi, pertukaran dan pemindahan ilmu pengetahuan serta perancangan dan pelaksanaan program akademik di peringkat antarabangsa dapat dirancang dan dilaksana pada masa hadapan.

MoU ini akan memberikan manfaat kepada warga UiTM dan TDTU daripada kedua- dua buah negara. Dengan termeterainya MoU ini, adalah diharapkan kerjasama baharu ini akan berterusan dalam penghasilan pelbagai pencapaian berimpak tinggi di samping turut berpotensi meningkatkan prestasi, reputasi serta ketampakan UiTM, khususnya Kolej Pengajian Alam Bina.