SHAH ALAM, 3 APRIL 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menjalinkan hubungan strategik dengan Universitas Islam Malang, Indonesia (UNISMA) dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan UNISMA dalam majlis yang telah berlangsung di UiTM Shah Alam semalam. Dalam majlis tersebut, UiTM telah diwakili oleh Naib Canselor, Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, manakala UNISMA pula diwakili oleh Rektor, Yang Berbahagia Profesor Dr. Masykuri Bakri. Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi FSPPP dan UNISMA, serta Dekan Fakulti Perubatan.
Matlamat utama MoU ini adalah untuk meraikan percambahan ilmu pengetahuan melalui kerjasama pintar dalam pelbagai disiplin. Selain itu, MoU ini juga bertujuan untuk memelihara dan mempergiatkan kerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan, menekankan kepakaran penyelidikan dan kolaborasi melibatkan pensyarah dan pelajar kedua-kedua institusi.
Hubungan antara UiTM dan UNISMA ini dilihat sebagai satu strategi untuk meningkatkan perkongsian global secara komprehensif. Ini adalah kerana agenda pembangunan yang berjaya memerlukan perkongsian inklusif di peringkat global, serantau dan nasional yang di bina atas prinsip, nilai serta matlamat bersama. Untuk itu, kedua-dua pihak akan terus berkolaborasi bagi memperoleh impak yang positif dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan serta pembangunan pelajar.