Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Kerajaan Negeri Kelantan diwakili oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat

MACHANG, 13 Mac – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Kerajaan Negeri Kelantan telah berlangsung pada 22 Februari 2023 di UiTM Cawangan Kelantan. UiTM Cawangan Kelantan diwakili oleh Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) manakala Kerajaan Negeri Kelantan diwakili oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Kerjasama di antara UiTM dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat ini telah terjalin sejak tahun 2020 sehinggalah sekarang. MoU ini ditandatangi oleh Yang Berusaha Tuan Haji Rusydee bin Abdullah selaku Ketua Jajahan Tumpat dan Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Abdol Samad bin Nawi selaku Rektor UiTM Cawangan Kelantan.

Kerjasama ini melibatkan Projek Pembangunan Inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti Pelancongan (CBT) di mana ianya adalah satu projek khas yang diadakan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Gugusan Kepulauan Tumpat. Tujuan utama Projek CBT ini adalah untuk mewujudkan satu bentuk ekonomi baharu di kalangan penduduk di Gugusan Kepulauan Tumpat. Secara tidak langsung ia akan mempelbagaikan sumber ekonomi kepada penduduk Gugusan Kepulauan Tumpat yang hanya bergantung semata-mata kepada pendapatan hasil daripada pembuatan kerepek, aktiviti nelayan dan kapal pengangkut. Dengan itu, projek ini akan membantu rakyat dari segi meningkatkan sumber pendapatan dan mengurangkan “kebuluran sifar”, salah satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).