Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Dan Memorandum Persefahaman (MoU) Di Antara IIESM, UiTM Dan Universitas Telkom Dan NR Links Systems Sdn. Bhd

SHAH ALAM, 5 OGOS 2022 – Selaras dengan matlamat UiTM dalam memperkasakan bidang penyelidikan dan inovasi di kalangan warganya, kolaborasi bersama institusi pendidikan di peringkat antarabangsa dan pihak industri tempatan telah dijalankan dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak dalam suatu majlis yang telah diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini. Majlis ini juga menyaksikan perasmian Mostek 25 Mobile Incinerator, mesin insinerator bagi pembakaran bahan untuk tujuan kitar semula sektor pembinaan.

Memorandum Perjanjian dan Persefahaman dibuat atas kolaborasi yang telah terjalin dalam bidang penyelidikan dan pembangunan inovasi di antara Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan (IIESM), Universitas Telkom, Indonesia dan NR Links Systems Sdn. Bhd. IIESM merupakan institut penyelidikan yang mengkhususkan bidang kejuruteraan yang bernaung di bawah UiTM. Universitas Telkom merupakan sebuah universiti swasta menjurus kepada penyelidikan dan keusahawanan berasaskan sains, teknologi dan kesenian. Manakala, NR Links Systems Sdn. Bhd. fokus dalam pembangunan teknologi terkini bidang infrastruktur dan kini mengorak langkah ke pembangunan penyelidikan dan pengurusan kitar semula melalui hasil pembakaran insinerator.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor berkata, “kerjasama yang dijalin pada hari ini memberi peluang untuk UiTM membuka jalan kepada penerokaan pelbagai pilihan lain terutama dalam penghasilan bahan binaan sedia ada yang boleh diguna pakai di dalam sektor pembinaan negara demi merancakkan lagi pembangunan industri binaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Usaha ini secara tidak langsung dapat melonjakkan prestasi universiti dan industri sehingga ke peringkat global demi mencapai GRU2025.”

Kerjasama ini merupakan pemangkin dalam penyelidikan ujikaji hasil sisa pembakaran insinerator sebagai bahan pengikat alternatif di dalam sektor pengurusan pembinaan bahan kejuruteraan oleh pihak-pihak yang terlibat. Perjanjian ini juga melibatkan sumbangan alat Mostek 25 Mobile Incinerator daripada pihak NR Links Systems Sdn. Bhd. bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersialan. Aktiviti penyelidikan ini bakal memberi pilihan alternatif bahan binaan sedia ada dalam sektor pembinaan sekaligus merancakkan lagi pembangunan industri binaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah, penggunaan insinerator ini bakal memberi manfaat pelbagai bidang lain seperti sektor pertanian, perladangan dan penternakan yang boleh memberi impak positif kepada sosioekonomi Malaysia secara amnya.

UiTM akan terus memberi sokongan dan galakan kepada warga pendidik dan para penyelidik dalam membudayakan penyelidikan serta perkongsian kepakaran dengan pelbagai pihak dalam meningkatkan prestasi universiti dan industri tempatan supaya lebih berdaya saing di peringkat global. Selain itu, usaha ini akan memantapkan peranan UiTM sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang membantu dalam melahirkan intelektual serta penjana modal insan untuk pembangunan negara.