Alor Gajah, 10 Jun 2024 β Program Citra Nusantara Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka merupakan salah satu daripada dua program penting dalam Projek Pengantarabangsaan FKPM dan Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Padjadjaran (UNPAD) yang berlangsung dari 10 Jun 2024 hingga 13 Jun 2024.
Tumpuan utama Program Citra Nusantara FKPM UiTM Cawangan Melaka bersama UNPAD adalah untuk mengembangkan hubungan dua hala membabitkan dua budaya Nusantara di antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis Malam Citrawarna telah dijalankan pada 10 Jun 2024 bertempat di Dewan Syura Kampus Alor Gajah sebagai tanda meraikan ketibaan Delegasi UNPAD ke UiTM Cawangan Melaka yang berjumlah kira-kira 53 orang iaitu terdiri daripada 39 orang pelajar dan 14 orang pensyarah.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (TRHEP), UiTM Cawangan Melaka, Ts. Dr. Nadzri Bin Mohd Sharif hadir merasmikan Majlis Malam Citrawarna ini. Beliau turut merujuk bahawa Program Citra Nusantara ini sebagai amat signifikan dalam mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua buah negara di samping menjadi platform terbaik dalam bertukar-tukar pandangan dari segi budaya. Malah, kolaborasi strategik pada masa hadapan dari segi penyelidikan, penerbitan serta program antarabangsa lain turut dapat dirancang secara lebih spesifik melalui perbincangan di antara kedua-dua belah pihak secara tidak langsung melalui pelbagai pengisian dalam program ini.
Penasihat program, Encik Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah, juga menyatakan bahawa Program Citra Nusantara di bawah kelolaan beliau dibantu bersama Jawatankuasa Pelajar Kelab Institute of Public Relations Malaysia Student Association (IPRMSA) UiTM Cawangan Melaka menjadi satu platform terbaik dalam mendedahkan golongan pelajar yang menjadi peneraju program berkenaan cara pengendalian sesuatu program antarabangsa di bawah pemantauan pensyarah. Melalui pendedahan sebegini, para pelajar akan lebih berpengetahuan serta yakin untuk mengendalikan program-program pada masa akan datang sungguhpun dalam skala delegasi yang lebih besar.
Program yang dijalankan ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sekaligus mengukuhkan lagi perhubungan di antara kedua-dua buah negara. Kerjasama erat ini pastinya bakal menghasilkan pelbagai sumbangan yang signifikan dan berimpak tinggi baik kepada institusi serta negara masing-masing.
Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah, Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani