Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti

ALOR GAJAH, 28 OGOS 2024 – Program Malam Gala Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti telah berlangsung dengan gilang gemilang yang bertempat di PARKROYAL A’Famosa Melaka Resort. Program Malam Gala ini telah berjalan serentak di seluruh Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh Malaysia. Membawakan tema Starlit Glam, kehadiran tetamu kehormat dan alumni pada malam itu menjadikan program ini penuh gilang gemilang.

UiTM telah melalui perjalanan yang panjang sejak penubuhannya, bermula sebagai sebuah institusi yang sederhana, sehingga berkembang menjadi sebuah universiti yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa. Sepanjang 25 tahun ini, UiTM Melaka telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang akademik, penyelidikan, dan sumbangan kepada masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Rahmad Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama telah mewakili YAB Ketua Menteri Melaka hadir ke Majlis Malam Gala ini. Turut hadir, Yang Berhormat Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Yang Berbahagia Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, serta Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Melaka.

Dalam ucapan Yang Berhormat Datuk Rahmad Mariman, beliau menyatakan bahawa UiTM Cawangan Melaka telah memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan sosioekonomi negeri ini. Selain itu, UiTM Cawangan Melaka telah menjadi sumber utama dalam menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berkualiti, yang mana ini selaras dengan keperluan industri, selain terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan, termasuk program keusahawanan, inovasi, dan kemahiran.

Tambahan beliau, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa komited dalam menyokong usaha UiTM amnya untuk terus memajukan pendidikan tinggi di negeri ini. Beliau percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama kepada pembangunan negeri yang mampan dan berkualiti. Oleh itu, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan UiTM dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini melalui pendidikan yang berkualiti.

Pada malam itu juga, penampilan khas sesi perkongsian oleh Datuk Sabariah Hj Mahat yang merupakan Mantan Rektor UiTM Cawangan Melaka telah dilaksanakan. Beliau telah melalui perjalanan sebagai pensyarah Part Time Full Time (PTFT) dan mengakhiri zaman kerjaya beliau di UiTM Cawangan Melaka. Pelbagai input perkongsian yang telah disampaikan oleh beliau dan ini sedikit sebanyak membuatkan tetamu teruja menjadi salah seorang warga UiTM yang bukan hanya gah di mata kita, bahkan juga gah di mata dunia.

Selain itu, perkongsian oleh alumni UiTM dari kohort 7 LG120 juga memaparkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Melaka dan ini menunjukkan bahawa negara kita mempunyai pelbagai etnik yang sangat menarik. Turut dijalankan ialah sesi penghargaan kepada pengarah projek MIIEX2024 dan MIC3St 2023. Program diserikan lagi dengan cabutan bertuah yang mana masing-masing membawa pulang hadiah yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Pengarah Projek, Dr. Noor Afzaliza Nazira Ibrahim yang juga dibantu oleh seluruh Jawatankuasa Penggerak Program Malam Gala 2024 menyatakan bahawa Program Malam Gala ini telah memberi peluang kepadanya untuk mengumpulkan kembali alumni, staf dan juga pelajar yang telah banyak mengharumkan nama UiTM di mata dunia.

Program yang dijalankan ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sekali gus mengukuhkan lagi perhubungan di antara alumni dan juga diharapkan dapat membina hubungan yang erat dengan industri dan kerajaan.

Oleh: Dr Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, Pengarah Projek Malam Gala Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti