SHAH ALAM, 14 OKTOBER 2024 – Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTMLaw) Shah Alam akan melancarkan “Legalpreneurship Awareness Workshop 1.0”, satu program intensif selama tiga hari yang bertujuan untuk memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar undang-undang. Bengkel ini akan berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober 2024 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam.
Inisiatif ini disokong oleh firma guaman terkemuka Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), bersama beberapa rakan strategik lain seperti HWAM Sdn. Bhd., Triplezen PLT, dan Goldsky Sdn. Bhd.. Program ini akan memberi peluang kepada 20 pelajar undang-undang UiTM yang terpilih untuk menjalani latihan komprehensif yang merangkumi kemahiran keusahawanan dalam undang-undang dan penyediaan dokumen praktikal.
Bengkel ini menampilkan tiga modul utama yang meliputi bidang amalan undang-undang penting seperti dokumentasi undang-undang, proses pemindahan hak milik, transaksi pinjaman, serta perancangan harta pusaka Islam. Objektif program ini adalah untuk membekalkan pelajar dengan latihan praktikal, meningkatkan kesedaran tentang peluang keusahawanan dalam sektor undang-undang, dan membuka peluang menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperolehi.
Majlis pelancaran bengkel ini akan disempurnakan oleh Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), menunjukkan komitmen UiTM terhadap pendekatan inovatif dalam pendidikan undang-undang. Turut hadir, Datuk Wan Azmir bin Wan Majid, yang akan berkongsi kepakaran beliau dalam amalan undang-undang serta strategi pemasaran.
Program ini diharap dapat mencorak pemikiran pelajar undang-undang UiTM ke arah lebih inovatif, sekaligus memanfaatkan kemahiran undang-undang mereka untuk menjadi “legalpreneur” yang berjaya.