RAUB, 10 Januari 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Raub telah menganjurkan Majlis Inspirasi Akademik (MIA) pada 10 Januari 2025. Dengan tema “Akademia Pemacu Kecemerlangan Diri”, MIA berjalan dengan lancar dengan kehadiran hampir 95 peratus pelajar. Para pensyarah yang merupakan penasihat akademik juga turut hadir bagi menjayakan majlis ini.
Seiring dengan matlamat pembangunan lestari dalam memastikan pencapaian akademik yang berkualiti maka, majlis ini dianjurkan bagi mencapai dua objektif utama. Pertama, menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar dan memotivasikan mereka untuk mengekalkan prestasi serta memberi inspirasikan rakan-rakan sebaya.
FPP telah mencapai satu pencapaian akademik yang membanggakan pada peperiksaan semester 20242 yang lepas dengan seramai 214 pelajar BA111 dan 175 pelajar BA119 yang mencapai Anugerah Dekan. Pelajar semester 2, 3, dan 4 diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan (MIA) dengan sijil Anugerah Dekan disampaikan oleh penasihat akademik kepada pelajar di bawah seliaan masing-masing. Majlis ini dimulakan dengan ucapan Ketua Pusat Pengajian FPP, Dr. Nurul Nadia Abd Aziz, yang menegaskan bahawa kecemerlangan akademik perlu disokong dengan pelbagai kemahiran tambahan yang lain bagi membantu pembentukan pelajar supaya mereka mampu mendepani masa depan yang kian mencabar. Pelajar disarankan untuk memastikan segala kemahiran seperti berkomunikasi, menyelesaikan masalah, pengurusan tekanan dan sebagainya turut diasah sepanjang tempoh pengajian di UiTM.
Penganjuran majlis ini melibatkan kerjasama antara pensyarah dan pelajar penerima Anugerah Dekan sebagai ahli jawatankuasa pelaksana. Para pelajar diberi tanggungjawab untuk menguruskan pelbagai tugas bagi mempelajari kemahiran pengurusan acara. Peluang untuk mengendalikan acara ini diharapkan dapat menjadi pengukuh kepada pelajar untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dalam menguruskan majlis, terutamanya bagi acara-acara yang mendatang.
Majlis ini turut menandakan penutup bagi semester 20244. Para pelajar FPP di UiTM Kampus Raub dan Jengka diharapkan dapat melalui peperiksaan akhir dengan cemerlang, sementara ucapan selamat maju jaya ditujukan kepada pelajar-pelajar semester 5 yang bakal bergraduasi.
Penulis (1) Norulhuda Tajuddin (2) Mohd Samsuri Ghazali