Shah Alam, 30 September 2023 –Universiti Teknologi MARA (UiTM), menganjurkan Majlis “Hi Tea 2023” bagi menghargai jasa dan sokongan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan universiti ini kepada masyarakat. Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Komunikasi UiTM telah diadakan di Hotel Wyndham Acmar, Klang, dan telah dihadiri oleh seramai 25 pengamal media dari pelbagai agensi termasuk Bernama, Media Prima, Berita Harian, RTM, Utusan Malaysia, Kosmo, Harian Metro, New Straits Times, Sinar Harian, Serta SelangorKini.
Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Naib Canselor UiTM, dalam ucapannya berkata UiTM amat berbangga dan berterima kasih atas liputan media dan hubungan baik dengan beliau dimana beliau sendiri akan melayani media dan mengenalpasti isu yang menarik untuk diberikan maklumat kepada pihak media. Program ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah banyak memberikan publisiti selain sebagai medium untuk kedua pihak saling mengenali dan beramah mesra. “Terima kasih tidak terhingga atas sokongan media dalam membuat liputan berkaitan UiTM bukan sahaja membabitkan ahli akademik malah aktiviti pelajar,” ujar beliau.
Majlis Hi Tea ini merupakan yang pertama diadakan dan objektif utamanya adalah untuk menghargai peranan media yang telah bekerjasama dengan UiTM dalam liputan program-program universiti untuk tahun 2023. Wakil-wakil media turut memberikan pandangan mereka tentang betapa pentingnya hubungan erat antara universiti dan media, yang saling bergantung untuk mendapatkan berita yang berkualiti.
Ini adalah satu lagi langkah UiTM dalam menghargai serta mengeratkan hubungan yang baik dengan media dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan universiti kepada masyarakat.
Galeri Media: