JENGKA, 1 Ogos 2023 – Satu majlis hi tea telah diadakan bagi menghargai usaha para pelajar kursus ko kurikulum Pengurusan Kewangan Asas HPD135 (KP2A2) yang telah menerbitkan buku bertajuk Tekanan Kewangan dalam Kalangan Mahasiswa (ISBN: 978-629-96870-3-0).
Majlis yang bermula sekitar 4.30 petang telah dihadiri YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang (UCPh). Turut sama hadir di majlis ini ialah Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Encik Ahmad Ikmal bin Mohamed, Wakil Unit Ko kurikulum, Puan Lily Mazlifa Mustafa selaku Koordinator Program AC110, pensyarah-pensyarah Fakulti Perakaunan dan pelajar-pelajar Pengurusan Kewangan Asas HPD135 (KP2A2).
Kemuncak majlis ini adalah sesi penyerahan buku yang telah disempurnakan YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan kepada pelajar-pelajar kursus HPD135 dan pensyarah-pensyarah yang terlibat di dalam penghasilan buku ini. Secara ringkasnya, buku ini dihasilkan bertujuan untuk mengecilkan jurang maklumat dan pengetahuan berkenaan pengurusan kewangan pelajar dan juga mengetengahkan isu pelajar dalam menghadapi situasi tekanan kewangan. Cetusan idea untuk menerbitkan buku ini bermula dengan timbulnya keluhan pelajar mengenai kenaikan harga barang. Justeru itu, satu inisiatif dilakukan dengan membuat tinjauan terhadap pelajar HPD135. Pelajar -pelajar yang mengikuti kursus ko kurikulum HPD135 didedahkan dan diberi kefahaman mengenai hal ehwal pengurusan kewangan. Di samping itu, pelajar-pelajar juga dapat menambah kemahiran dan pengetahuan mereka dalam menyediakan perancangan kewangan yang bersistematik, memahami produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan serta aspek pelaburan dan insuran.
Data yang diperolehi daripada tinjauan tersebut telah dianalisa dan diperkemaskan serta diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan buku ini. Malah, beberapa orang pensyarah-pensyarah fakulti turut membantu dalam menyumbang idea dan penulisan mereka di dalam buku ini. Selain itu, data kajian yang telah diperolehi dapat membantu pihak HEP untuk melihat permasalahan pelajar secara lebih mendalam dan strategik.
Melalui penglibatan pelajar-pelajar di dalam memberi input penghasilan buku ini, mereka lebih memahami kesan tekanan kewangan yang dihadapi (dalam situasi sebenar) dan berupaya mencadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya. Ini amat bertepatan dengan hasil kursus HPD135 iaitu pelajar berupaya mengawal dan menguruskan kewangan secara bijak, berupaya membincangkan teknik-teknik pengurusan kewangan yang strategik, berbelanja mengikut kemampuan serta mencapai matlamat kewangan dengan mudah.
Hasil penulisan ini telah memenuhi Petunjuk Prestasi PI057 iaitu Number of publication published by UiTM Press and other publishers. Selain daripada itu ia juga telah memenuhi SDG 1 – Tiada Kemiskinan (Menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana.), SDG 2 – Kelaparan Sifar (Menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan), SDG 3 – Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (Memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur) dan SDG 4 – Pendidikan Berkualiti (Menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua).