Puncak Alam, 16 Januari 2025 – Majlis Berbuka Puasa Sunat Rejab dan Program Kuliah Maghrib Khas & Munajat Peperiksaan Akhir telah dijayakan oleh Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dengan kerjasama Persatuan Rakan Masjid, KORSISPA, Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta Persatuan dalaman UCS. Majlis dianjurkan bagi mempersiapkan mental dan rohani mahasiswa menjelang peperiksaan akhir semester.
Hadir meluangkan masa menyantuni lebih 1000 orang mahasiswa dan menyempurnakan perasmian program adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS. Rektor turut diiringi oleh barisan pengurusan kanan UCS yang sama-sama menghayati ceramah motivasi peperiksaan disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Nor Mamat. Program ini diharap dapat memberi impak positif kepada mahasiswa UCS untuk lebih menjaga kesihatan spiritual, mental, emosi dan fizikal menjelang peperiksaan akhir. Semoga dengan redha ibu bapa dan para pendidik, selain usaha dan doa kepada Yang Maha Esa, mahasiswa UCS dapat menghadapi peperiksaan dengan jiwa yang tenang.
Penganjuran program seperti ini membuktikan komitmen UCS dalam mendukung pembangunan sahsiah mahasiswa di samping mencapai kecemerlangan akademik.