Samarahan, 14 Jun 2024 – Program Majlis Aspirasi & Apresiasi Pelajar Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Senibina, Perancangan dan Ukur (SSSPU) 2023/2024 telah diadakan pada tanggal 14 Jun 2024 yang lalu bertempat di Dewan Jubli, Kampus Samarahan UiTM Cawangan Sarawak. Majlis yang berlangsung buat kali kedua ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Pusat Jaringan Industri (PJI) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof. Madya Ir. Dr. Juferi bin Idris dan dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian SSSPU, Sr. Dr. Asmah Alia Mohamad Bohari, penyelaras-penyelaras program di bawah pusat pengajian SSSPU, jemputan-jemputan khas dari bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA), Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Perpustakaan, barisan para pensyarah dan juga pelajar-pelajar penerima anugerah seramai 230 orang.
Majlis Hi-Tea gilang-gemilang bertemakan “Black & Yellow” ini diadakan bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik dengan mencapai GPA 3.50 (AD) bagi sesi peperiksaan 2023/2024 dan juga Anugerah Khas Cemerlang Kokurikulum bagi pelajar yang telah mengharumkan nama Pusat Pengajian dan UiTM di peringkat tertinggi. Pusat Pengajian SSSPU merangkumi Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK). Pelajar cemerlang yang diraikan adalah daripada kedua-dua kolej pengajian ini yang terdiri daripada program Diploma Bangunan / Teknologi Binaan, Diploma Ukur Bahan, Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, Sarjana Muda Senibina, Diploma Seni Halus dan Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital. Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan tarian pembukaan dan nyanyian oleh para pelajar yang berbakat.
Bagi Kolej Pengajian Alam Bina, pelajar cemerlang akademik mengikut program masing-masing dianugerahkan kepada Zul Aliya Shafiena (Diploma Bangunan), Nurul Shazira Binti Nor Effendi (Diploma Ukur Bahan), Nur Yasmin Binti Arshad (Sarjana Muda Ukur Bahan) dan Nadzera Binti Isnin (Sarjana Muda Senibina). Sementara bagi Kolej Pengajian Seni Kreatif pula, Emil Elmariz Bin Johny (Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital) dan Syahira Yasmin Binti Abdul Kadir (Diploma Seni Halus) telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang akademik. Anugerah Khas Cemerlang Ko-Kurikulum turut diberi kepada pelajar Merrylove Glory Albert mewakili KAB dan Muhammad Abal Hakim Bin Abal Mukam mewakili KPSK. Kedua-dua pelajar tersebut bergiat aktif mewakili universiti dalam program dan pertandingan yang telah dianjurkan di peringkat antarabangsa.
Majlis ini secara tidak langsung bertujuan menggalakkan para pelajar untuk lebih berusaha dalam mencapai kejayaan dan juga dapat memberikan inspirasi kepada para pelajar yang lain. Para pelajar harus melihat kecemerlangan akademik sebagai satu faktor yang penting di samping menjadi batu loncatan bagi mendapatkan peluang pekerjaan pada masa akan datang . Bagi aspek kokurikulum pula, kesungguhan dan kesanggupan pelajar meluangkan masa dan tenaga dalam menyertai pertandingan dan aktiviti yang diadakan amat dihargai. Dalam kesibukan pelajar mentelaah pelajaran, mereka berjaya mengimbanginya dengan bergiat aktif juga dalam bidang kokurikulum. Hal ini dapat membuktikan kepada pelajar lain bahawa tidak ada kejayaan yang mustahil jika pelajar bijak membahagikan masa. Penghargaan bagi aspek kokurikulum ini juga dapat memberikan sumber inspirasi kepada pelajar lain mengetengahkan bakat terpendam yang mereka ada. Di samping akademik yang cemerlang, bakal pemimpin negara kelak haruslah tergolong dalam golongan mereka yang turut bergiat aktif, cergas dan berinovasi.