Majlis Anugerah Tokoh Siswa bagi Tahun 2022

MACHANG, 6 Februari – Bahagian Hal Ehwal Pelajar selaku penganjur utama Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) UiTM Cawangan Kelantan Bagi Tahun 2022 telah diadakan pada 31 Januari 2023. Majlis yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK dan Encik Meer Zhar Farouk Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTMCK serta barisan pengurusan universiti.

Sebanyak 30 kategori anugerah yang dipertandingkan bagi melahirkan mahasiswa yang beraspirasi. Objektif program adalah untuk menghargai pelajar, kelab, dan persatuan di UiTM Cawangan Kelantan yang bergiat aktif dalam aktiviti pembangunan pelajar. Selain itu, majlis ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat dan mendorong mahasiswa lain untuk terus cemerlang, dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Majlis Anugerah Tokoh Siswa pada kali ini membawa slogan ‘Mahasiswa Aspirasi Kepimpinan Negara’. Slogan ini dipilih kerana matlamat penubuhan UiTM adalah untuk memenuhi keperluan bumiputera yang profesional dan terlatih di Malaysia. Disamping itu, nilai i-DART iaitu nama akronim bagi Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab dapat diterjemahkan di dalam nilai budaya pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Pihak Universiti juga berharap apabila tertanamnya nilai tersebut, kita dapat melahirkan mahasiswa yang profesional dalam berorganisasi.

Oleh itu, dengan terlaksananya Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) UiTM Cawangan Kelantan Tahun 2022 ini, semua mahasiswa dapat melonjakkan prestasi dan potensi keseluruhan yang ada, terutamanya yang bergiat aktif dalam kelab dan persatuan yang terdapat di UiTM Cawangan Kelantan.